Tuesday, January 6, 2015

2323) BERNAMA - 06/01/2015 - Rampas Barang Jualan Peniaga Yang Naikkan Harga Barang Di Kawasan Banjir - LPKPM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) meminta pihak berkuasa merampas barangan jualan dan mengeluarkan saman ke atas peniaga yang menaikkan harga secara melampau di kawasan terjejas banjir.  
Presidennya, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu bertindak sedemikian bagi memberi pengajaran kepada peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan membebankan mangsa banjir.  

"Diharap pihak berkuasa memperbanyakkan lagi operasi pemantauan dan pemeriksaan di kedai dan pasar.  

"Jika harga barang naik 20 sen atau 30 sen kita boleh terima lagi, tetapi harga yang dinaikkan itu mencecah dua kali ganda dan ini melampau," katanya pada sidang media di sini hari ini mengenai harga barang yang naik mendadak di negeri-negeri terjejas banjir.  

Beliau juga meminta orang ramai menggunakan hak mereka sebagai pengguna dengan membuat aduan dan melaporkan kepada pihak berkuasa bagi membanteras masalah itu.  

Pada sidang media berasingan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata pengguna perlu bersikap tegas dan tidak tunduk kepada perbuatan peniaga menaikkan harga barang secara mendadak.  

"Pengguna mempunyai kuasa besar untuk mengekang kenaikan harga dengan memboikot dan memberi tekanan kepada para peniaga dan memaksa mereka menurunkan harga kepada paras yang munasabah," katanya.  

Beliau menyelar tindakan peniaga yang masih menaikkan harga barang walaupun harga minyak sudah diturunkan kerajaan berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.  

Pada sidang media itu, Nadzim turut merasmikan pelepasan konvoi enam kenderaan yang membawa bantuan sumbangan Jawatankuasa Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah, Setiawangsa, dekat sini untuk mangsa banjir di Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.
-- BERNAMA 



Sumber : http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/newsindex.php?id=1098338

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...