Tuesday, January 20, 2015

2411) FREE MALAYSIA TODAY - 16/01/2015 - Eric Paulsen Ada Masalah Jiwa – Zulkifli Noordin

IMG-20150116-WA0004
KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin menyifatkan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen seorang yang mempunyai masalah jiwa kerana menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyebarkan fahaman ekstremis pada setiap Jumaat kepada umat Islam.
Menurut beliau, tindakan secara bersiri yang dilakukan Eric untuk menghentam orang Islam menerusi akaun Twitternya membuktikan bahawa beliau mempunyai penyakit.
“Kita kasihan pada beliau (Eric) kerana beliau ada penyakit yang saya rasa penyakit itu penyakit jiwa,” katanya kepada pemberita semasa menghadiri perhimpunan aman gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu yang menyokong Ketua Polis Negara menangkap Eric di hadapan Masjid Bukit Aman.
Jelas beliau, NGO Islam dan Melayu sebelum ini tidak pernah mengambil tindakan terhadap kaum lain yang menghina Islam, tetapi bagi isu yang melibatkan Eric yang sejak akhir-akhir ini sering menghentam umat Islam maka tindakan wajar dikenakan terhadapnya.
Katanya, tindakan perlu diambil terhadap peguam itu supaya segala kesalahan perlakuannya sebeluam ini dapat diperbetulkan mengikut undang-undang negara ini.
“Kita berterima kasih kepada Ketua Polis Negara dan pihak berkuasa yang terlibat kerana telah mengambil tindakan mengikut undang-undang. Kalau beliau bersalah kenakan hukuman, kalau beliau tidak bersalah bebaskan beliau,” ujarnya.
Sementara itu, Yang Dipertua PERKASA Negeri Sembilan Ruslan Kasim berkata, tindakan yang dikenakan terhadap Eric merupakan keputusan yang tepat, untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain supaya mereka jangan cuba bermain dengan api untuk menimbulkan kemarahan umat Islam.
Sebanyak empat NGO menyertai perhimpunan tersebut antaranya, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...