Tuesday, January 20, 2015

2406) SINAR - 16/01/2015 - Minyak Turun Harga, Tapi Barang Tetap Mahal?

Minyak
SHAH ALAM – Rakyat negara ini sudah menikmati kadar harga minyak yang rendah sejak bulan lalu namun, sehingga kini masih terpaksa membayar barang keperluan pada kadar sama saat harga minyak melambung.
Apa pula alasan peniaga untuk tidak menurunkan harga barang jika harga minyak naik menjadi penyebab mereka menaikkan harga barang sebelum ini?
 
Kemudian, akta yang mana dan kempen yang mana dapat menurunkan harga barang ini?
Ahli Lembaga Pengamanah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Muhamad Sa’ani Abdullah berkata, kadar penurunan harga minyak mentah dunia yang drastik sepatutnya memberi kesan kepada harga barangan namun perkara itu tidak berlaku di negara ini.
“Apabila harga minyak naik 20 sen, harga barang juga naik 10 sen atau 20 sen. Walaupun sumbangan minyak itu teramat kecil sebenarnya.
“Tapi sekarang, harga minyak dunia turun daripada $110 setong pada Jun 2014 kepada $60 setong pada bulan ini. Itu adalah satu perubahan yang banyak tapi kita tak nampak apa-apa perubahan pada harga barang,” katanya kepada Sinar Online.
Menurutnya, kerajaan perlu menyiasat keuntungan yang diraih pengeluar, pengedar dan peruncit bagi mengenal pasti barangan mana yang memperoleh keuntungan berlebihan.
“Fomca telah menghantar memorandum kepada kerajaan. Kerajaan perlu menggunakan Akta Kawalan Harga dan anti-pencatutan untuk menyiasat keuntungan yang diraih pengeluar, pengedar dan juga peruncit. Dari situ kerajaan boleh kenal pasti, barang mana yang meraih keuntungan berlebihan.
“Apabila kos pengeluaran terutama kepada yang menggunakan bahan api menurun, sepatutnya harga barang juga turun. Petrol menurun hampir 50 peratus, jadi, perlu ada perubahan dalam harga barangan. Ini hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan soal pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April depan yang mungkin menjadi cabaran buat kerajaan jika masalah harga barang ini tidak ditangani sekarang.
“Kerajaan kata selepas GST nanti, kalau peniaga naikkan harga akan diambil tindakan. Apa yang kerajaan boleh buat? Kalau penurunan harga minyak 50 peratus pun kerajaan tak boleh ambil tindakan.  GST itu 6 peratus saja, apa tindakan yang boleh diambil?
“Jika tiada tindakan undang-undang boleh diambil sekarang, kita tak yakin apa yang akan berlaku pada 1 April nanti. Ini cabaran untuk kerajaan,” katanya.
Sementara itu,  Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menyifatkan isu tiada penurunan harga barang meskipun harga minyak telah lama turun itu dikaitkan dengan sikap peniaga yang hanya mahu mengaut keuntungan.
“Inilah bayangan etika kebanyakan peniaga di Malaysia. Mereka hanya tahu nak untung sahaja dan tidak mengutamakan etika. Perkara ini telah merebak dan menjadi penyakit yang amat bahaya kepada negara.
“Ini cabaran yang mesti dihadapi jika negara kita nak membangun. Jika tidak, hari ini kita diisi dengan penipuan atas penipuan.
“Minyak naik 20 sen tapi bebola ikan yang dulunya dijual RM1.50 sepaket sekarang RM2.50 sepaket. Katakan sebuah lori boleh bawa 6,000 paket bebola ikan, jadi, dia untung tambahan RM6,000 hanya dengan alasan minyak naik 20 sen. Ini yang kita kena betulkan,” katanya.
Tegasnya, kerajaan perlu menangani permasalahan ini untuk jangka masa pendek serta jangka masa panjang.
“Sekarang ini, minyak turun tapi harga barang makin naik pula gara-gara banjir. Sedangkan banjir di Kelantan tapi buah limau dari China pula yang naik harga.
“Kena didik peniaga supaya lebih beretika. Untuk jangka pendek perlunya undang-undang tapi untuk jangka panjang, sikap perlu diubah. Selagi hati tidak dapat dibentuk, kempenlah bagaimana pun, tak akan mendatangkan hasil,” katanya.


No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...