Tuesday, January 13, 2015

2352) UTUSAN 12/01/2015 - MyCC, PPIM Bekerjasama Pantau Amalan Antipersaingan



KUALA LUMPUR 11 Jan. – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menjalin kerjasama erat mengenai sebarang kemungkinan berhubung amalan antipersaingan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Dr. Mohd. Khalid Abdul Samad berkata, walaupun kenaikan harga itu sendiri bukanlah perlakuan anti persaingan, tetapi jika kenaikan harga hasil dari pakatan sulit melalui perjanjian-perjanjian penetapan harga oleh mana-mana persatuan atau mana-mana kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, ianya boleh disiasat di bawah Seksyen 4 daripada Akta Persaingan 2010.

“Kami ambil maklum keprihatinan PPIM mengenai kemungkinan terdapatnya pakatan oleh peniaga untuk menetapkan harga tinggi dan berharap untuk bekerjasama dengan PPIM dalam memperoleh petunjuk mengenai kes-kes seperti itu di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, sebagai pengawal selia pengguna, PPIM sentiasa berada di hadapan dalam memperjuangkan isu-isu yang dapat membantu pengguna.

Seksyen 4 daripada Akta Persaingan 2010 melarang perusahaan, termasuk persatuan, dari menetapkan, secara terus atau secara tidak langsung satu pembelian atau harga jualan atau mana-mana keadaan perdagangan lain untuk pembelian barang-barang dan perkhidmatan.

Akta Persaingan 2010 telah berkuatkuasa sejak 1 Januari 2012 dan persatuan serta perusahaan perlu mematuhi undang-undang terbabit.

Suruhanjaya boleh mengenakan penalti kewangan, yang tidak melebihi daripada 10 peratus pendapatan sedunia perusahaan tersebut sepanjang tempoh pelanggaran Akta ataupun mengenakan mana-mana arahan lain dianggap sesuai untuk memastikan Akta Persaingan 2010 dipatuhi oleh persatuan dan perusahaan pada masa akan datang.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...