Friday, January 9, 2015

2347) 08/01/2015 - Panduan Melupus Al-Quran Yang Rosak Akibat Banjir

Sekumpulan petugas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) melakukan kerja pelupusan al-Quran pada 2012, dengan membuang abu naskah yang telah dibakar di perairan Kuala Terengganu, kira-kira sembilan batu nautika dari jeti Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur. - Foto Facebook Magnetic Aura 


KUALA LUMPUR, 7 Januari: 

Pihak berwajib diminta mengeluarkan panduan atau langkah-langkah untuk orang ramai melupuskan naskah-naskah al-Quran atau buku-buku agama mengandungi ayat suci al-Quran yang telah rosak, akibat bencana banjir, baru-baru ini. 

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sukarelawan PPIM dalam misi bantuan banjir baru-baru ini, menjumpai sejumlah besar naskah al-Quran yang telah musnah dan diselaputi lumpur serta tidak boleh digunakan lagi. 

Menurutnya, naskah al-Quran itu dipercayai ditinggalkan begitu sahaja oleh mangsa banjir, kerana tidak boleh digunakan lagi dan PPIM bimbang ia akan menjadi isu pada masa akan datang. 

“Oleh itu, PPIM meminta agar satu garis panduan dikeluarkan, bagi membolehkan orang ramai melupuskan atau terdapat pihak ketiga yang boleh membuat kerja-kerja pelupusan tersebut. 


“Naskah al-Quran dan buku-buku agama itu juga boleh dikumpul dan dihantar ke masjid atau surau-surau berhampiran, supaya dapat dilupuskan mengikut tatacara yang betul oleh pihak bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini. 

Nadzim juga meminta pihak bertanggungjawab, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan daerah, mewar-warkan prosedur yang boleh diguna pakai oleh orang awam berhubung perkara itu. 

“Tidak semua orang di luar sana mengetahui cara untuk mengendalikan al-Quran yang telah rosak dan ia tidak boleh dilupuskan sewenang-wenangnya. 

“Jadi, PPIM memohon kerjasama semua, untuk memberitahu langkah atau kaedah yang betul kepada orang awam, bagi melaksanakan garis panduan pelupusan naskah al-Quran dan buku-buku agama dengan cara betul. 

“Dengan ini, orang ramai diharapkan dapat mematuhi adab-adab umum dalam menguruskan al-Quran seperti yang disyariatkan oleh agama Islam,” ujarnya. 

Sementara itu, hasil pemeriksaan The Rakyat Post di Internet mendapati, ada beberapa pautan mengenai kaedah pelupusan al-Quran yang sebenarnya boleh dirujuk orang ramai. 

Antaranya ialah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang disiarkan di portal rasmi Fatwa Malaysia, e-Fatwa. 

Menurut portal e-Fatwa, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-30 yang bersidang pada 22 Ogos 1992, bagi membincangkan kaedah pelupusan al-Quran memutuskan, al-Quran yang rosak, koyak, tidak boleh dibaca lagi dan juga yang bukan resam Uthmani, hendaklah dilupuskan. 

“Kaedah pelupusan ialah dengan dibakar dan ditanam di tempat yang dikawal. 

“Kerja-kerja pelupusan hendaklah dipertanggungjawabkan kepada urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan dilakukan dengan cara tersembunyi, demi mengelakkan salah faham orang ramai,” menurut kenyataan portal berkenaan yang boleh dirujuk di pautan http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/pelupusan-al-quran

Manakala bagi buku agama yang terdapat ayat al-Quran dan Hadis, mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang bersidang pada 21 Disember 2006 memutuskan, ia dibakar dan ditanam di tempat yang dikawal. 

Kerja-kerja pelupusan juga perlu dipertanggungjawabkan kepada urusetia atau Majlis dan Jabatan Agama Islam, dan dilakukan dengan cara tersembunyi, demi mengelakkan salah faham orang ramai. 

Berhubung cara pembakaran, bahan yang mengandungi ayat al-Quran mesti dibakar secara menyeluruh, tanpa tertinggal mana-mana bahagian tidak terbakar. 

“Bahan-bahan atau debu yang mengandungi ayat suci al-Quran yang telah dibakar, hendaklah dipastikan dikumpul, supaya tidak ditiup angin atau bersepah. 

“Bahan yang telah dibakar, hendaklah ditanam di tempat bersih yang tidak dilalui orang, atau dibuang ke laut atau sungai yang mengalir airnya,” demikian menurut keputusan Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dipetik daripada pautan http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/pembakaran-buku-buku-agama-yang-terdapat-ayat-ayat-al-quran-dan-hadith

Selain itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) turut menyiarkan “Panduan Pengurusan Pelupusan Bahan-bahan Penerbitan dan Perhiasan Yang Mengandungi Ayat-ayat Suci Al-Quran” yang boleh diakses secara terbuka di Internet, melalui alamat pautan http://www.jawi.gov.my/Pdf_doc/Penyelidikan/PANDUAN%20PENGURUSAN%20%20PELUPUSAN%20%20BAHAN.pdf

Portal rasmi Kementerian Dalam Negeri (KDN), www.moha.gov.my pula memaklumkan, sebuah syarikat swasta bernama Percetakan Sufi ada mengendalikan Pusat Pelupusan Ayat Suci Al-Quran dan khidmatnya boleh digunakan orang ramai.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...