Tuesday, May 20, 2014

1915) NIB 20/05/2014 METRO HARIAN - JERAT GAJI 5 ANGKA




Headline: JERAT GAJI 5 ANGKA
Publication: HM
Date of publication: May 20, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 004
Byline / Author: Oleh Suraya Roslan; Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: Terpesona tawaran gaji lumayan untuk jawatan Eksekutif Pentadbiran, lapan graduan kerugian hampir RM1 juta selepas menjadi mangsa penipuan licik sebuah syarikat yang berselindung di sebalik urus niaga mata wang asing (forex).

Kebanyakan mereka yang baru menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan, memohon pekerjaan di syarikat itu selepas membaca iklan yang disiarkan di portal mencari pekerjaan menerusi Internet, Februari lalu.

Seorang daripada mangsa yang mahu dikenali sebagai Latifah, 23, berkata, dia diminta menghadiri sesi temu duga di pejabat syarikat berkenaan yang terletak di ibu kota selepas mendaftar di portal berkenaan.

"Ada lima calon yang menghadiri temu duga itu. Selepas sesi temu duga semua kami diterima sebagai Eksekutif Pentadbiran dan ditawarkan gaji RM2,500 sebulan, selain komisen yang kononnya membolehkan kami memperoleh pendapatan sehingga lima angka.

"Ketika itu, kami semua kurang jelas mengenai skop kerja dan hanya mengikut saja. Selepas hadir di pejabat pada hari pertama, baru kami diberitahu yang tugas kami ialah mencari pelanggan yang berminat membuat pelaburan forex," katanya.

Menurutnya, pekerja baru diberi kursus dan latihan mengenai cara-cara menghampiri serta memancing pelanggan.

"Bagi memastikan sasaran komisen tinggi tercapai, kami dipaksa memujuk ahli keluarga dan rakan termasuk ibu bapa untuk melabur dengan alasan membantu keluarga menerima pulangan lumayan," katanya.

Latifah berkata, dia kemudian memujuk bapa yang bekerja sebagai penjawat awam untuk melabur RM260,000 selepas diyakinkan syarikat yang jumlah pelaburan tinggi itu akan diambil kira dalam indeks penilaian prestasi kerja.

"Selepas menandatangani beberapa dokumen termasuk borang pemindahan dana ke Hong Kong menggunakan kaedah Telegraphic Transfer (TT), kami hanya menunggu mendapat habuan seperti dijanjikan," katanya.

Latifah ditemui Harian Metro selepas membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan di sini, semalam.

Bekas siswazah sains sosial itu berkata, selang dua bulan kemudian mereka tidak mendapat apa-apa bayaran.

"Apabila kami meminta gaji dan pulangan yang dijanjikan, pengurusan syarikat dengan selamba memberitahu pelaburan itu mengalami kerugian dan syarikat tidak bertanggungjawab kerana kami sudah menandatangani persetujuan menanggung risiko.

"Saya percaya ini satu penipuan dan mereka sengaja memanipulasi keadaan supaya pelaburan kami mengalami kerugian. Gaji kami pun dibayar cuma RM900," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Seri Petaling, di sini.

Seorang lagi mangsa yang mahu dikenali sebagai Suhara, 25, berkata, dia juga mengalami pengalaman hampir sama dengan arahan mencari pelanggan untuk memperoleh komisen RM225 bagi satu transaksi pelaburan.

"Selepas dua minggu, saya masih gagal mendapat pelanggan dan pengurus meminta kami lebih aktif serta perlu mendapatkan pelaburan sekurang-kurangnya RM100,000 bagi melayakkan kami mendapat komisen.

"Kami kemudian dipujuk supaya mendapatkan pelaburan itu daripada ahli keluarga. Terpengaruh dengan segala janji mereka, saya meminjam duit persaraan bapa saudara berjumlah RM130,000 dan bapa berjumlah RM30,000 untuk tujuan pelaburan.

"Bagaimanapun, beberapa minggu kemudian saya diberitahu pelaburan mengalami kerugian. Namun, mereka masih memujuk saya supaya tidak putus asa.

"Saya diminta menambah modal. Tapi saya mula curiga lalu mengambil keputusan berhenti kerja," katanya.

Suhara berkata, dia kemudian cuba menjejaki pekerja lain yang lebih awal bekerja di syarikat itu dan dimaklumkan puluhan graduan sudah ditipu, malah puluhan laporan sudah dibuat kepada Bank Negara.


1 comment:

Sharifah amira said...

perkara yang sama berlaku kepada saya sehingga saya dan keluarga mengalami kemurungan yang teruk disebabkan perkara tersebut.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...