Friday, June 28, 2013

794) UTUSAN MALAYSIA 27/6/13-NGO bimbang pasar mini berjenama jejaskan peruncit kecil

NADZIM Johan (duduk, dua kiri), Samsudin Mohamad Fauzi (duduk, kanan) pada sidang akhbar berhubung isu ah Long dan peniaga-peniaga runcit kecil di Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jun - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan bagi pihak pemborong dan peruncit yang bakal mengalami kerugian akibat hasrat pembukaan lebih banyak pasar mini oleh rangkaian pasar raya besar, khususnya di kawasan perumahan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun langkah pasar raya besar itu dilihat sebagai satu usaha mewujudkan suasana persaingan secara sihat, namun strategi mereka akan menjejaskan ekonomi peniaga runcit kecil-kecilan.

"Ini berikutan lambakan pasar mini berjenama akan menyebabkan kedai runcit tidak lagi menjadi pilihan pengguna memandangkan harga barangan ditawarkan rangkaian pasar raya itu lebih murah.

"Perbezaan harga berlaku kerana pasar mini merupakan cawangan daripada perniagaan runcit yang beroperasi dalam skala besar dan mampu membeli stok secara pukal, sekali gus memperoleh harga lebih murah berbanding kedai runcit," katanya dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini.

Katanya, bukan niat menghalang pasar raya besar mengembangkan operasi perniagaan mereka tetapi biarlah dilakukan secara adil dan pada masa sama tidak menjejaskan perniagaan runcit kecil-kecilan.

"Ini berikutan terdapat kira-kira 50,000 pemborong dan peruncit di seluruh negara yang bergantung kepada perniagaan itu untuk mencari sumber pendapatan," katanya.

Katanya, walaupun pengguna memperoleh manfaat dari segi pilihan barangan, namun kesannya dalam jangka masa panjang akan menyebabkan pasar raya besar memonopoli rangkaian perniagaan runcit.

"Keuntungan yang pada mulanya boleh dinikmati oleh lebih 50,000 peruncit, akhirnya dimonopoli beberapa pemilik pasar raya besar," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta supaya kerajaan mengkaji terlebih dahulu cadangan dan hasrat pasar raya besar itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, Pengerusi Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia, Amanullah Maideen turut menyatakan kebimbangan bayaran sewa kedai akan meningkat berikutan pasar mini tersebut menawarkan harga lebih tinggi untuk mendapatkan lokasi perniagaan.

"Apabila kedai runcit berada di kawasan sama, sudah tentu pemilik kedai juga akan mengenakan sewa mengikut harga semasa. Peniaga runcit kecil-kecilan tidak mempunyai pilihan, terpaksa menaikkan harga barangan," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta supaya pasar raya besar tidak membuka cawangan pasar mini di lokasi yang telah mempunyai banyak kedai runcit.

Katanya, dari segi tawaran harga pula, pemilik kedai runcit tidak ada masalah untuk menawarkan harga barangan lebih murah jika diberi peluang membeli barangan secara pukal bersama-sama peniaga kecil yang lain.

"Namun disebabkan terpaksa membeli barang-barang daripada pembekal pada harga lebih mahal daripada pasar mini, menyebabkan kami tidak dapat menawarkan harga rendah kepada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara ini kerana sekiranya syarikat besar dibiarkan memonopoli perniagaan runcit, dikhuatiri akan membunuh ekonomi peruncit tempatan.

"Tidak mustahil suatu hari nanti harga barangan akan dikawal oleh syarikat-syarikat besar yang menjalankan perniagaan runcit kerana mereka memegang kuasa monopoli tersebut," katanya.


Sehubungan itu, bagi memberikan keadilan kepada semua pihak, beliau meminta supaya syarikat-syarikat besar meneruskan operasi perniagaan dalam skala besar menerusi pasar raya dan biarlah peniaga kedai runcit meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...