Wednesday, June 12, 2013

771) BERITA MALAYSIAN INSIDER 11 JUN 2013-Adik Najib dikecam NGO Islam kerana menyokong CEO AirAsia X


OLEH MD IZWAN
JUNE 11, 2013

KUALA LUMPUR, 11 Jun — Pertubuhan bukan kerajaan Gabungan NGO Islam hari ini menyelar adik perdana menteri, Datuk Seri Nazir Razak ekoran sokongannya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani yang baru-baru ini dikritik akhbar milik Umno Utusan Malaysia dan kumpulan Melayu berhaluan kanan ekoran kenyataannya di laman Twitter.
Semalam, Nazir yang juga merupakan Eksekutif CIMB Bank Berhad memuji Azran dengan melabelnya sebagai "tanda sebagai pemimpin" kerana berani menyatakan pendiriannya walaupun tidak disukai ramai orang.

"Nazir dan Azran adalah dua contoh terbaik anak Melayu yang menepati maksud peribahasa ‘Seperti kacang lupakan kulit'.

"Justeru kami ingin sarankan agar Nazir dan Azran bertukar-tukar jawatan atas dasar suka sama suka demi menguatkan lagi sikap anti Melayu mereka," kata Dzulkarnain Taib dalam satu kenyataan media mewakili gabungan pertubuhan tersebut.



Presiden Wartawan Muda Malaysia itu membidas Nazir (gambar) kerana tidak mementingkan sensitiviti kaum Melayu sendiri, disamping mendakwa adik kepada Datuk Seri Najib Razak tersebut tidak pernah memahami rasa susah payah kerana dibesarkan dalam keluarga bangsawan.

"Tidak ramai orang Melayu bernasib baik seperti Nazir yang dilahirkan di dalam keluarga bangsawan.

"Kami sangat kesal dengan kenyataan Nazir kerana walaupun menerajui sebuah konglomerat bank yang terkemuka di rantau ASEAN, malangnya beliau terperangkap dalam kerangka pemikiran dan minda yang membelakangkan sentimen dan sensitiviti bangsa Melayunya sendiri," katanya lagi.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan Nazir yang merupakan pembiaya utama AirAsia X memuji Azran kerana meluahkan isi hatinya dengan mempercayai ia adalah perkara yang benar.

"Itulah tanda seorang pemimpin," kata Nazir semalam semasa pelancaran prospektus AirAsia X.

Adik bongsu kepada Najib itu menambah disebabkan kualiti seperti itu pasukan syarikat penerbangan berkenaan telah menunjukkan 70 peratus peningkatan tahunan keuntungan sejak dilancarkan pada November 2007.

Azran dikritik bulan lalu selepas beliau melalui akaun twitternya, @azranosmanrani, mengatakan melihat serangan perkauman selepas pilihan raya.

Beliau turut dilaporkan menerima kritikan daripada Perkasa, kumpulan pendesak Melayu atas kenyataan kerasnya itu.

Sebagai balasan, akhbar berkenaan menyiarkan pandangan pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan aktivis pro Umno menyelar Azran dan menggelarnya "sombong" dan Melayu yang lupa daratan.

Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafizah Aziz dan pengarahnya, Datuk Seri Kalimullah Hassan juga turut diserang daripada pelbagai kumpulan selepas kedua-duanya mempertahankan kenyataan Azran.

Perkasa, Persatuan Veteran Penjawat Awam, Gerakan Reformis Malaysia dan Jaringan Melayu Malaysia antara kumpulan yang menyerang Rafidah dan Kalimullah dan menuntut mereka meminta maaf terhadap kenyataannya terhadap Utusan.

Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar turut menyokong akhbar berkenaan dan berkata Azran tidak akan berada di posisi sekarang tanpa "perjuangan Melayu yang dilakukan Utusan Malaysia."

Kolumnis Utusan, Awang Selamat menggesa Utusan supaya tidak lagi menerima iklan daripada syarikat penerbangan terbabit sehingga permohonan maaf dikeluarkan.


Awang turut membandingkan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dan mengatakan syarikat penerbangan nasional itu mempunyai servis yang lebih baik dan lebih bersifat nasionalisme.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...