Friday, June 28, 2013

796) UTUSAN MALAYSIA 28/6/13-Ambil tindakan premis enggan guna bahasa Melayu



KUALA LUMPUR 27 Jun - Pihak berkuasa tempatan digesa mengenakan tindakan terhadap premis perniagaan yang enggan menggunakan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan mereka.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, penekanan lebih serius perlu dilakukan demi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah sekian lama menjadi penghubung antara kaum di negara ini.

Menurut beliau, jika dibiarkan, ditakuti bahasa kebangsaan akan menjadi semakin layu dan seterusnya tenggelam dalam era globalisasi masa kini.

"Segala hal rasmi melibatkan pihak berkuasa tempatan wajib menggunakan bahasa Melayu, namun persoalannya, adakah kewajipan itu tidak diamalkan semasa pendaftaran premis perniagaan yang dilakukan oleh peniaga?

"Ini jelas menunjukkan penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa Melayu lemah dan kami menyeru kepada pihak berkuasa supaya sedar dan ambil tindakan khusus bagi menjamin kedudukan bahasa kebangsaan di tanah air ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Nadzim, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga bertanggungjawab dalam mengekalkan bahasa tersebut seiring dengan peranan mereka sebagai pusat rujukan bahasa Melayu yang dihormati.

"Penggunaan bahasa Melayu harus konsisten dengan pembangunan negara ini. Saya tidak mahu Malaysia dianggap sama seperti negara lain yang mana penggunaan bahasa di papan tanda tidak diselaraskan," katanya

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib menegaskan, penggunaan bahasa Melayu dalam semua aspek memerlukan campur tangan pihak berkuasa supaya penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan.

Jelasnya, pihak berkuasa turut diminta supaya tidak mudah akur dengan kehendak para peniaga yang hanya memandang remeh tentang penggunaan bahasa kebangsaan untuk premis perniagaan mereka.

"Kita mesti bertindak tegas dalam hal ini kerana tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu terletak pada bahu seluruh rakyat Malaysia," katanya.

 Artikel Penuh: http://202.190.126.82/utusan/Dalam_Negeri/20130628/dn_18/Ambil-tindakan-premis-enggan-guna-bahasa-Melayu#ixzz2XUUw3pU3
© Utusan Melayu (M) Bhd



No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL