Monday, June 17, 2013

779) HARIAN METRO 15 JUN 2013-Along suruh cari mangsa


Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Dapat imbuhan selepas jerat kawan. Itu antara taktik terbaru digunakan ceti haram atau along yang menawarkan komisen pada harga tertentu kepada peminjam yang mendapatkan 'mangsa' baru dengan jumlah pinjaman serendah RM1,000.

Taktik itu dikesan selepas seorang pensyarah berusia 54 tahun yang dibelenggu hutang along merujuk kes berkenaan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana diselubungi rasa bersalah dan menyesal kerana menjadikan dua rakannya sebagai mangsa untuk mendapatkan habuan ditawarkan.

Kakitangan sebuah institut pengajian tinggi awam yang mahu dikenali sebagai Maimunah itu berkata, dia mula terfikir untuk menerima tawaran berkenaan beberapa minggu lalu apabila diganggu along yang menuntut hutangnya berjumlah RM120,000 selepas mula meminjam sejak 2008.

Katanya, sebagai alternatif, ceti berkenaan memberikan cadangan kepadanya supaya memperkenalkan beberapa rakan untuk meminjam dengan kadar komisen tertentu sebagai ganjaran membantu mendapatkan 'pelanggan' baru.

Tanpa berfikir panjang, saya terus mencari beberapa rakan dan dua daripada mereka bersetuju untuk membuat pinjaman berjumlah RM2,000 setiap seorang.

Daripada jumlah itu, saya diberikan komisen RM1,000 dan along berkenaan berjanji akan terus memberikan imbuhan sekiranya lebih ramai peminjam baru diperkenalkan, katanya ketika ditemui semasa membuat aduan kepada Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM, Yati Saharuddin di sini, semalam.

Maimunah berkata, sebaik berbuat demikian, dia didatangi ahli keluarga rakannya itu yang tidak berpuas hati apabila mendapat tahu pinjaman berkenaan diuruskannya menyebabkan dia rasa menyesal kerana sanggup membabitkan orang lain semata-mata untuk memperoleh kesenangan seperti dijanjikan.

Saya bukan saja terpaksa menggunakan rakan-rakan, malah sampai satu tahap saya sanggup berbohong kepada ibu sendiri dengan alasan saya akan ke tanah suci menunaikan ibadat haji hanya kerana ingin melunaskan bayaran kepada ceti.

Kehidupan saya sebagai ahli perniagaan sebelum ini menjadikan saya terlalu taksub mengejar wang ringgit sehingga sanggup menggunakan apa saja demi mendapatkan wang. Selepas berfikir, saya datang ke PPIM untuk 'serah diri' sebagai jalan terbaik.


Kini saya rasa begitu menyesal kerana sejak terjebak dengan along, saya bukan saja hilang fokus di tempat kerja, perniagaan pelaburan yang saya usahakan lebih 10 tahun lalu juga mengalami kerugian, katanya.

1 comment:

Kasah Tawafeen said...

Tahniah Saudari Maimunah - diatas kesedaran dan pendedahan tektik kotor Along(Chetti Haram).

Halhaksah - D&T,PPIM

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL