Monday, June 17, 2013

778) UTUSAN MALAYSIA 17 JUN 2013-PPPIK sasar tambah 3,000 ahli



KOTA BHARU 16 Jun - Persatuan Pemborong, Penjual Ikan Negeri Kelantan (PPPIK) mahu menambah keahlian persatuan sekurang-kurangnya seramai 3,000 orang bagi memperkasakan fungsinya.

Penaung persatuan itu, Datuk Seri Mohd. Fared Abd. Ghani berkata, penambahan ahli mampu mengukuhkan kedudukan persatuan dalam memperjuangkan nasib mereka melalui pelbagai aktiviti yang akan dijalankan pada masa hadapan.

"Selain itu kita akan mengkaji mekanisme untuk memacu sumber ekonomi ahli dan masyarakat atau peniaga-peniaga Melayu khususnya dengan lebih teguh melalui pelbagai aktiviti berpersatuan.

"Untuk itu, kita perlukan kerjasama daripada semua ahli dalam usaha mentransformasikan persatuan ke arah lebih cemerlang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Fared yang juga Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan turut berharap mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan visi dan misi persatuan tercapai.

Beliau berkata, bagi memastikan matlamat perjuangannya tercapai, PPPIK turut merancang untuk memiliki bangunan sendiri bagi memudahkan operasi mereka.

Sementara itu, Pengerusi PPPIK, Long Aziz Long Omar menaruh keyakinan pelantikan Mohd. Fared sebagai penaung berkuat kuasa 1 Mei lalu, dapat memperkasakan lagi peranan persatuan yang ketika ini mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1977, PPPIK tidak pernah mempunyai penasihat atau penaung dan jawatan tersebut wajar diwujudkan dalam usaha memperkasakan lagi fungsi persatuan bagi membela nasib pemborong dan penjual ikan di negeri ini.

"Pihak persatuan percaya Mohd. Fared mampu menggalas tanggungjawab bagi menggerakkan fungsi persatuan dengan lebih efisien dalam menjaga kepentingan ahli terdiri daripada bumiputera," katanya.

  
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130617/wt_02/PPPIK-sasar-tambah-3,000-ahli----Mohd.-Fared#ixzz2WRupc5uw

© Utusan Melayu (M) Bhd

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...