Monday, June 17, 2013

777) UTUSAN MALAYSIA 17 JUN 2013-Hasrat PMBOA naikkan tambang bas ekspres terus dikecam

MOHD MUSTAFFA HAMZAH

KUALA LUMPUR 16 Jun - Hasrat Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) menaikkan tambang bas ekspres sehingga 30 peratus menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi terus dikecam kerana disifatkan tidak berasas.

Aktivis Pengguna, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah berkata, hasrat itu juga tidak selari dengan mutu perkhidmatan bas ekspres ketika ini yang dilihat tidak menunjukkan sebarang perubahan.

"Kami menentang keras desakan menaikkan harga tambang yang tidak munasabah itu apatah lagi menjelang musim perayaan kerana jelas membebankan pengguna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas peringatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek semalam supaya PMBOA tidak menaikkan tambang bas ekspres sesuka hati.

Sebelum ini, Presiden PMBOA, Datuk Ashfar Ali berkata, pihaknya terpaksa menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus tidak lama lagi berikutan semakan semula yang biasa dilakukan dalam empat atau lima tahun sekali sejajar dengan peningkatan kos operasi yang didakwa kini mencecah sehingga 36 peratus.

Tambah Mohd. Mustaffa, kerajaan sebelum ini memberi pelbagai bantuan dan subsidi kepada pengusaha bas bagi menampung kos operasi mereka sekali gus tidak mewajarkan desakan menaikkan harga tambang bas ekspres.

Malah, tambah beliau, desakan itu juga tidak selari dengan usaha kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam.

"Sehubungan itu, sekiranya PMBOA tetap dengan hasrat mereka, kita akan menggerakkan usaha mengajak orang ramai menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna memboikot perkhidmatan bas ekspres," katanya.

Sementara itu, Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, pihaknya berharap PMBOA meneliti semula hasrat tersebut yang dilihat cuba mengambil kesempatan menjelang musim sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam masa sama, tambah beliau, PMBOA perlu berbincang dengan pelbagai pihak seperti kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak dalam isu tersebut.

"Apa yang kita persoalkan juga ialah kenapa harga tambang bas ekspres itu perlu dinaikkan menjelang musim perayaan Aidilfitri dan bukannya selepas itu?" katanya.

Tambah beliau, sekiranya PMBOA gagal memberi penjelasan kukuh berhubung kewajaran kenaikan harga tambang itu serta terus berdegil dengan kadar kenaikan yang tidak munasabah Desmma akan turut bersama-sama NGO lain memboikot perkhidmatan bas ekspres.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130617/dn_09/Hasrat-PMBOA-naikkan-tambang-bas-ekspres-terus-dikecam#ixzz2WRmrrTPW

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...