Wednesday, June 12, 2013

770) BERITA UTUSAN MALAYSIA 12 JUN 2013: Perkenal satu sistem persekolahan



KUALA LUMPUR 11 Jun - Kerajaan didesak melaksanakan hanya satu sistem persekolahan bagi mewujudkan keharmonian terutama di kalangan generasi muda dan menangani ketegangan yang mulai dirasai dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Sehubungan itu, sebanyak 130 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mahu kerajaan mengkaji sistem persekolahan tanpa lagi bersandarkan bahasa ibunda.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kajian pihaknya dengan beberapa tokoh masyarakat Cina dan India mendapati kewujudan sekolah aliran menjadi penghalang kepada usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak merdeka.

Menurutnya, kewujudan sebanyak 61 sekolah vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan ketika ini menjadi antara punca rakyat berbilang kaum gagal mengenali dan menghormati antara satu sama lain sehingga wujudnya jurang serta prasangka antara mereka.

"Apa yang berlaku di sesetengah sekolah vernakular swasta, pelajar bukan sahaja mengikuti pembelajaran dalam bahasa ibunda mereka, malah diajar mengenai sejarah negara luar.

"Ini menyalahi peruntukan Perlembagaan kerana mereka sepatutnya diajar mengenai sejarah Malaysia," katanya dalam sidang akhbar berhubung isu kedudukan dan status sekolah vernakular di sini hari ini.

Turut hadir sama bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Dalam masa sama, Nadzim mencadangkan sekolah vernakular swasta diwajibkan mengguna sukatan mata pelajaran yang mempunyai matlamat dan aspirasi nasional serta berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.

"Kita tidak berniat menghapuskan terus bahasa ibunda kerana sedar kepentingannya dalam industri. Bahasa ibunda itu boleh dijadikan sebagai salah satu subjek wajib dalam silibus sekolah," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata, isu sekolah vernakular merupakan polemik yang boleh memecah-belahkan masyarakat dan menggugat keharmonian kaum jika tidak diselesaikan segera.

Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya berharap kerajaan berhenti melayan sebarang tuntutan pihak tertentu yang jelas memperjuang kepentingan sesetengah kaum semata-mata.

"Desakan itu termasuk permohonan menambah jumlah sekolah vernakular, isu pengiktirafan Peperiksaan Gabungan Sekolah Menengah Cina (UEC) serta pengukuhan pengajaran mata pelajaran Bahasa Mandarin di sekolah-sekolah vernakular sedia ada," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130612/dn_05/Perkenal-satu-sistem-persekolahan#ixzz2Vym91fDt

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...