Friday, June 14, 2013

773) UTUSAN MALAYSIA 13 JUN 2013-Cari punca secara serius

DR AHMAD ZAKI ISMAIL

KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan digesa mengkaji semula harga kereta keluaran negara ASEAN dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc di pasaran tempatan berikutan perbezaannya yang ketara dengan negara-negara jiran.

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, perbezaan ketara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan duti eksais kenderaan di negara ini telah diselaraskan dengan negara ASEAN lain.

Tambah beliau, dasar tersebut sepatutnya dinikmati rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana, bukannya syarikat pengeluar kereta.

"Kita bimbang sekiranya terdapat syarikat pengeluar kereta tidak bersikap jujur dengan menyembunyikan nilai sebenar kereta bagi mendapatkan keuntungan atas angin yang tinggi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini berhubung persoalan mengenai harga kereta popular yang dikeluarkan di negara-negara ASEAN dengan kapasiti enjin di bawah 1,500cc di pasaran tempatan yang sepatutnya lebih murah kerana duti eksais dikenakan kerajaan hampir setara dengan duti dikenakan di negara jiran, Thailand dan Indonesia.

Menurut sumber industri, secara purata duti eksais yang dikenakan ke atas model-model popular berkenaan adalah kira-kira 40 hingga 50 peratus di negara ini, manakala di Thailand dan Indonesia cukai sama antara 30 hingga 50 peratus.

Ahmad Zaki menambah, harga kenderaan itu juga sepatutnya lebih kompetitif memandangkan kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan tersebut mempunyai kilang di negara-negara ASEAN.

"Dalam keadaan ini, pengeluar-pengeluar kenderaan tersebut mampu beroperasi dengan kos lebih rendah sekali gus membantu usaha penurunan harga kereta," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, selain harga kereta yang dikeluarkan negara ASEAN, kerajaan juga wajar menyemak semula cukai jualan kereta import yang masih boleh dikurangkan.

Katanya, usaha itu bagi membolehkan kenderaan import dijual lebih murah sekali gus memberi manfaat kepada pengguna selain merancakkan sektor automotif negara.

"Penurunan harga kereta import melalui pengurangan cukai jualan itu juga mampu melonjakkan daya saing syarikat automotif nasional, Proton dan Perodua dengan jenama-jenama kenderaan antarabangsa," katanya.

Menurut beliau, dasar itu boleh dilaksana secara berperingkat bagi mengelak memberi kesan negatif terhadap harga kenderaan terpakai, pemilik kereta yang masih berhutang dengan bank, pengusaha industri kereta terpakai dan institusi pembiayaan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130613/dn_08/Cari-punca-secara-serius#ixzz2WAQyc98A

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL