Friday, June 14, 2013

776) RENCANA : UTUSAN MALAYSIA 14 JUN 2013-Rumah sudah siap, bolehkah pahat berbunyi lagi?



Oleh DR. AHMAD ZAKI ISMAIL
PILIHAN Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sudah terlaksana, keputusannya sudah diperolehi sama ada ia seperti yang diharapkan atau sebaliknya terpulanglah kepada kita menerimanya. Seperti pertandingan dan sukan memang ada kalah dan menang.

Yang kalah perlu sabar menerima kekalahan itu dan berusaha dengan lebih gigih jika ingin menjadi pemenang di lain kali pula. Sebaliknya, yang menang pula tidak perlu mendabik dada berhidung tinggi dan melupakan daratan.

Tertarik kepada kata-kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang pekat dengan nilai korporat dan menggunakan bahasa korporat juga iaitu bahasa Inggeris seratus peratus bahawa beliau mempunyai rencana 100 hari untuk dilaksanakan.

Tahniah diucapkan kepada beliau yang nampaknya amat memahami hasrat dan wawasan serta tujuan pelantikan beliau oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mungkin juga beliau beranggapan pemilihan beliau adalah kerana pencapaian hebat di Telekom dan Mayban kerana itu mendapat pengiktirafan untuk memperkenalkan strategi-strategi baru di JPM pula supaya JPM menjadi hebat dan perkasa.

Harapan semua kepada Datuk Seri yang muda belia ini tidak lupa bahawa pemilihan beliau sebenarnya adalah khusus mendokong agenda Bumiputera kerana beliau adalah orang Melayu. Itu jangan dilupa sebab kata bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad - ‘Melayu Mudah Lupa’.

Pada beliau mungkin bahasa itu biasa sahaja, tetapi kena mula perhatikan diri bahawa banyak orang di atas sana sudah lupa di mana bumi yang mereka pijak dan lupa pula di mana langit yang mereka junjung sehingga seperti kaduk pula jadinya.

Jangan fikir kita terlalu hebat sehingga lupa bahawa yang menghebatkan kita itu adalah rakyat marhaen yang berjuang memberikan kita peluang belajar, bekerja dan memperolehi jawatan sedemikian rupa. Jangan pula lupa bangsa dan keperibadian diri dan jangan pula tidak mempercayai bangsa sendiri.

Kita tahu prestasi itu penting tetapi kalau tidak diberikan peluang kepada bangsa sendiri untuk membuktikannya seperti yang berlaku sekarang sampai bila pun kita akan diperlekehkan. Bukan oleh bangsa asing tetapi bangsa sendiri juga termasuk mereka yang memperolehi jawatan sebab mereka berbangsa Melayu.

Kita sudahlah terpaksa bersaing, dihimpit dan dikenakan pelbagai sekatan untuk meneroka bidang-bidang yang sudah dikuasai oleh orang lain sekian lama. Lebih malang apabila industri yang sepatutnya dikuasai oleh kita sendiri juga kita serahkan kepada orang lain.

Contoh terbaik adalah industri makanan dan produk halal, perbankan Islam dan juga takaful. Sebagai orang nombor satu di Mayban satu ketika dahulu kita percaya bahawa Datuk Seri tidak lupa hikayat Mat Salleh yang menerajui industri Etiqa Takaful Berhad satu ketika tidak berapa lama dahulu. Kami yakin bahawa banyak iktibar boleh kita pelajari daripadanya.

Bayangkanlah seorang Mat Salleh boleh mengetuai industri Takaful agaknya hebat sungguh kefahaman beliau dalam ilmu dan agama Islam atau orang Islam tidak memahami agama mereka sendiri.

Selanjutnya, selepas Raja-raja kita dihina dituruti pula Rasulullah pula jadi sasaran mereka. Tidak lama dahulu mereka melempar najis mughallazah ke rumah dan surau serta masjid. Babi seolah-olah menjadi simbolik penghinaan berterusan dan menjadi ayat yang sungguh sedap digunakan untuk dipanggil kepada penghuni asal negara ini yang memberikan peluang kepada mereka untuk menjadi apa yang sedang mereka nikmati ketika ini.

Kalau kita sandarkan hanya disebabkan PRU-13 perkara ini berlaku sebenarnya kita sudah tersilap. Sebenarnya, ia bukan perkara baharu sebab semenjak sekian lama ia menjadi duri dalam daging dan api dalam sekam. Ia meredap sekian lama, ditimbus dan disimpan di bawah tikar oleh mereka yang berkuasa demi mengekalkan kuasa yang menjadi dambaan mereka.

Walhal, sekiranya ia diselesaikan awal lagi dengan tegas dan tidak terlalu apologetik sepertimana yang dilaksanakan oleh semua negara lain di dunia termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand maka semua ini tidak akan terjadi. Pendek kata, pepatah menyatakan sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Lihat sahaja apabila mereka mula bersuara, adakah mereka pedulikan betapa terhiris dan luka perasaan kita akibat kata nista yang mereka keluarkan. Apabila mereka memboikot dan melaksanakan perniagaan double standard terhadap kita, memonopoli, memperkenalkan kartel adakah kita melompat dan riuh rendah mengetengahkannya. Kita diam, kita membisu dan menelan dengan pahit umpama perkahwinan bermadu.

Agenda kumpulan ini sebenarnya tidak terhenti setakat ini. Percayalah pelbagai strategi dan langkah sudah dan sedang di susun. Pelaksanaannya juga pelbagai cara dan pelbagai ragam kerana itu kita perlu lebih peka dan sedia untuk mengorak langkah bagi menangkis serangan itu dengan persiapan yang rapi dan kesedaran yang tinggi.

Meskipun rumah sudah siap dibina, sudah mampu dipertahan dari gelora tetapi pahat di luar sana masih berbunyi. Cubaan hebat sedang menunggu, anai-anai, pijat dan pelbagai parasit sedang bersedia untuk menyelinap ke dalamnya andai kita tidak berusaha dan memahami agenda utama memperkukuh ummah dan bangsa.

Setiap detik terleka akan mengundang mala petaka kerana senario negara hari ini tidak lagi serupa sebagaimana hari-hari sebelumnya. Kita sepatutnya sudah belajar dan menginsafi duduk perkara dan bukannya terus hanyut dalam zon selesa.

Kepada yang diberikan amanah, perlu berlapang dada dan mengkaji arah tuju dan sumbangan yang perlu mereka berikan. Mereka ini sungguh bertuah kerana diberikan peluang tetapi jangan mensia-siakan peluang yang diberi hanya untuk kepentingan diri dan peribadi yang kononnya pencapaian hebat yang meletakkan mereka pada posisi ini.

Orang Melayu dan bahasanya sangat teliti teratur dan kemas. Banyak yang beralas dan berkias begitu juga amanah yang mereka beri selepas PRU-13 sangat jelas bahawa mereka tetap boleh bersatu meskipun hati mereka tersentuh dan selalu dilupakan. Namun bila perlu penyatuan, mereka tetap pilih UMNO dan Barisan Nasional.

Apakah itu mampu dibuktikan oleh orang lain juga. Tak perlu lagi minta belas ihsan, pulangkan kembali kehormatan bangsa kita, jalan terus ke depan biar dengan rasa bangga dan tidak pula rasa terhutang kepada sesiapa.

Ini kalilah kita ambil semula hak kita, ini kalilah juga kita belajar banyak perkara pada suatu masa dan ini kalilah kita memperbetulkan untuk dulu kini dan selamanya.

PENULIS ialah Penasihat Persatuan

Pengguna Islam Malaysia (PPIM).



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130614/re_07/Rumah-sudah-siap,-bolehkah-pahat-berbunyi-lagi?#ixzz2WAWisR8y

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL