Wednesday, June 26, 2013

792) UTUSAN MALAYSIA 26/6/13-Cadangan pengharaman e-Rokok relevan



KUALA LUMPUR 25 Jun - Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) menggesa supaya rokok elektronik atau e-Rokok diharamkan berikutan produk itu memberikan kesan sampingan seperti penyakit berbahaya kepada pengguna.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, penggunaan e-Rokok oleh kalangan generasi muda terutamanya dilihat sebagai satu trend tidak sihat dan wajar diharamkan di negara ini.

"Golongan remaja kebanyakannya yang terdiri daripada pelajar sanggup untuk tidak minum dan makan bagi menyimpan duit belanja mereka untuk membeli e-Rokok.

"Lazimnya, rokok tersebut digunakan oleh perokok tegar sebagai alternatif untuk berhenti merokok, tetapi mereka tidak sedar bahawa e-Rokok masih mengandungi cecair nikotin yang mampu memberikan kesan ketagihan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan rokok elektronik atau e-Rokok yang semakin menjadi trend di negara ini terutama dalam kalangan remaja.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, langkah berkenaan perlu bagi menyekat penularan penggunaan rokok berkenaan yang hanya membawa kesan buruk kepada kesihatan.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, e-Rokok kini boleh dibeli di mana-mana sahaja, malah pengguna boleh membuat pembelian menerusi internet, menyebabkan bertambah sukar untuk dikawal.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya meminta supaya Kementerian Kesihatan menjalankan kajian mendalam terhadap kesan sampingan penggunaan e-Rokok.

"Secara jelas, merokok membawa kesan buruk kepada tubuh badan dan mengundang pelbagai penyakit kronik seperti kanser, jantung, paru-paru dan sebagainya,'' katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian perlu mengeluarkan polisi tentang penggunaan e-Rokok, seterusnya membuat keputusan sama ada perlu atau tidak mengharamkan rokok tersebut.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...