Tuesday, June 25, 2013

789) BERITA HARIAN 22/6/13- 'Batalkan saja Blackout 505'


Byline / Author: Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim; Mohd Nasaruddin Parzi; Syafik Aznan


Kuala Lumpur: Pelbagai pihak mengingatkan pakatan pembangkang supaya membatalkan Perhimpunan Blackout 505 hari ini kerana ia boleh mengancam dan memperjudikan keselamatan rakyat dan negara.

Mereka juga menggesa orang ramai tidak menyertai himpunan di Padang Merbok itu berikutan kegagalan penganjur mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Presiden Kelab Warisan Malaysia (KERIS), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata alasan hak kebebasan berhimpun yang dicanang pemimpin pembangkang bagi mengajak rakyat berkumpul sama sekali tidak masuk akal.

Katanya, walaupun hak itu termaktub dalam perlembagaan, ia masih tertakluk kepada proses undang-undang seperti digaris di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

Dalam kes Blackout 505 ini, mereka cuba memanipulasikan undang-undang. Walaupun penganjur sudah hantar notis 10 hari kepada polis, ia tidak bermaksud perhimpunan itu dibenarkan. Kebenaran DBKL selain masyarakat sekeliling juga diperlukan.

Tukar ke lokasi lain

DBKL tidak luluskan untuk berhimpun di Padang Merbok, maka penganjur harus batalkan atau menukar ke lokasi lain seperti stadium, katanya yang menyifatkan perhimpunan itu hanya propaganda Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menutup kelemahannya.

Beliau berkata, pembangkang seharusnya menunggu keputusan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang difailkan di mahkamah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, hanya tindakan tegas oleh polis diperlukan kini bagi memastikan perhimpunan berkenaan dibatalkan selain menasihatkan penganjur akur dengan keputusan DBKL

Kalau batalkan terus (perhimpunan itu) memang sangat elok. Tidak ada faedahnya... hanya menyusah dan merugikan orang ramai yang terpaksa bersesak di jalan raya.

Matlamat dan tujuan perhimpunan itu juga tidak kena pada tempatnya. Kalau betul mahu membantah keputusan PRU-13, tempatnya di mahkamah, bukan padang atau jalan raya, katanya.

Rakyat perlu sedar

Katanya, rakyat perlu sedar tujuan penganjurannya itu hanya untuk memburukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan, bukan mahu mencari apa-apa penyelesaian.

Orang sudah kalah (pilihan raya), dia akan buat apa saja untuk burukkan orang lain. Ini sifat orang tidak bertamadun dan wajar dicemuh, katanya diminta mengulas kedegilan penganjur tetap mahu mengadakan perhimpunan di lokasi itu.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Kuala Lumpur (KL) Selangor, Datuk Aslah Abdullah, turut mengingatkan penganjur supaya mendengar rintihan warga kota khususnya pemandu teksi.

Janganlah lagi mengheret rakyat berhimpun di ibu negara. bukan saja tempatnya tidak sesuai, malah akan menyusahkan orang ramai. (Pemandu) teksi pun susah cari makan, katanya.

Turut menyatakan bantahan sebelum ini, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah, yang menyifatkan perhimpunan itu akan merugikan banyak pihak, terutama peniaga dan penjaja kecil.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL