Tuesday, June 25, 2013

791) HARIAN METRO 25/6/13 - Kelentong dua `Datuk'



Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Bermodalkan alasan mahu membeli tanah serta tawaran pelaburan bernilai RM3 bilion bagi memikat mangsa, dua lelaki bergelar 'Datuk' dikesan aktif memperdayakan beberapa mangsa sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

Tidak cukup dengan tawaran keuntungan berlipat kali ganda, lelaki terbabit juga menawarkan imbuhan lain termasuk membeli sebuah bank konvensional hasil pelaburan di Filipina bagi menarik perhatian individu yang mahu mendapat keuntungan mudah.

Taktik itu dikesan beberapa minggu lalu selepas seorang pengadu dikenali sebagai Wati berusia 30-an membuat aduan kepada Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana bimbang lebih ramai menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan.

Wati berkata, dia dihubungi oleh kedua-dua lelaki terbabit yang memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan yang mahu mencari tanah untuk perniagaan berskala besar.

Mereka mengaku menjadi ejen, broker dan perunding hartanah bagi memastikan helah mereka berhasil selepas mengaku pakar dalam bidang berkenaan.

Mereka kemudian menawarkan saya menjadi rakan kongsi pelaburan bernilai RM3 bilion sekali gus membolehkan mereka membeli sebuah bank dan menjadi pemiliknya, katanya.

Menurutnya, selang beberapa jam selepas panggilan pertama, kedua-dua lelaki berkenaan mula menunjukkan belang sebenar apabila seorang daripada mereka turut mengaku kerabat diraja dan berhasrat membantu usahawan Bumiputera di negara ini.

Katanya, pada peringkat awal, dia diminta memasukkan RM5,000 ke dalam akaun peribadi 'Datuk' berkenaan tanpa diberikan sebarang dokumen atau resit sebagai bukti pembayaran.

Saya pula mengajak seorang lagi rakan untuk menyertai perniagaan itu dan sama seperti saya, tiada sebarang resit diberikan selepas wang dimasukkan menyebabkan saya mula mengesyaki sesuatu.

Selang sehari, saya dihubungi lagi dan kali ini mereka meminta wang tunai RM22,200 iaitu RM20,000 konon untuk urusan pendaftaran dengan Bank Dunia manakala selebihnya untuk bayaran pendaftaran syarikat, katanya yang membuat aduan kepada PPIM minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan (gambar) berkata, selepas menerima aduan itu, pihaknya mendapati wujud persamaan dengan beberapa kes penipuan seperti itu.


Justeru kita meminta orang ramai jangan terpedaya dengan penipuan sebegini, sebaliknya rujuk kepada pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Bank Negara Malaysia jika mendapati sesuatu yang meragukan, katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...