Friday, June 14, 2013

775) UTUSAN MALAYSIA 14 JUN 2013-'Tambang naik 30% terlalu tinggi'




KUALA LUMPUR 13 Jun - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diminta tidak sewenang-wenangnya meluluskan permintaan pengusaha bas ekspres yang mahu menaikkan tambang sebanyak 30 peratus pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, kenaikan itu terlalu tinggi berbanding perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna.

''Kenaikan 30 peratus tidak wajar. Walaupun harga tambang naik, perkhidmatan masih juga kurang memuaskan seperti berlepas tidak ikut jadual, memandu secara berbahaya, penggunaan bas tidak selesa dan sebagainya.

''Kita faham dengan peningkatan kos operasi tetapi hak pengguna juga perlu difikirkan. Kalau harga naik dalam 10 ke 15 peratus mungkin boleh dipertimbangkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas tindakan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) mahu menaikkan tambang sebanyak 30 peratus dan memilih untuk tidak menjual tiket lebih awal pada Julai dan Ogos sehingga SPAD menuruti tuntutan mereka.

Antara alasan yang dikemukakan adalah peningkatan kos keseluruhan sebanyak 36 peratus sejak kenaikan terakhir dan pelaksanaan gaji minimum pada tahun ini yang memberi kesukaran kepada syarikat bas untuk beroperasi.

Dalam pada itu, sebagai reaksi kepada permintaan tersebut, SPAD tidak menolak kemungkinan harga tiket dinaikkan tetapi kadar kenaikannya masih dalam peringkat kajian.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata, keputusan mengenainya akan dibuat sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Kita akan kaji. Banyak mana? Itu kita akan timbang," kata Syed Hamid kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Bas, Trak dan Komponen Antarabangsa Malaysia 2013 di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, SPAD perlu melantik badan profesional bebas yang mempunyai kepakaran dalam pengangkutan awam darat bagi mencari keadilan ke atas permintaan tersebut.

Katanya, tindakan itu perlu bagi memastikan pengguna tidak rasa terbeban dan pengusaha bas ekspres pula tidak mengalami kerugian.

''Mereka mungkin boleh meneliti perkhidmatan bas jarak jauh di luar negara. Di Turki misalnya, bas akan berhenti selepas dua atau tiga jam perjalanan untuk diselenggara. Selain mempunyai insurans, pemandunya juga berdisiplin dan ada pemandu kedua.

''Jadi pengguna mesti faham dan terima hakikat, kalau mahukan perkhidmatan yang baik, perlulah membayar lebih," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130614/dn_17/'Tambang--naik-30-terlalu-tinggi'#ixzz2WAUcM800

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...