Saturday, June 22, 2013

786) BERITA UTUSAN MALAYSIA 22 JUN 2013-Tubuh Suruhanjaya Diraja

NADZIM Johan (tengah) menjawab soalan media sambil ditemani Dzulkarnain Taib (kiri) dan Kelana Putra Muhamad dalam sidang akhbar khas menentang Red Bean Army di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kewujudan tentera siber 'Red Bean Army' dan kesan buruknya yang memecah belah perpaduan rakyat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu perlu dilakukan kerajaan bagi mencari kebenaran dan mengelakkan masyarakat daripada terus terperangkap dalam fitnah dunia siber.

Menurut beliau, pihaknya juga berhasrat menghantar memorandum mengenai gesaan penubuhan suruhanjaya itu kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi sidang Parlimen akan datang.

"Masyarakat mudah terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan oleh pihak yang ada kepentingan tertentu, malah kita juga mendapat maklumat gerakan itu mempunyai kaitan dengan sayap-sayap tertentu seperti komunis.

"Kita berharap kerajaan dapat segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara ini dan merungkaikan kebenaran, jika terbukti benar wujud, tindakan tegas perlu diambil," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib; Pengarah Strategik Permuafakatan Wangsa Malaysia (Pewangsa Malaysia), Kelana Putra Muhamad dan aktivis belia Pewangsa Malaysia, Amir Ashraf Hamzah.

Menurut Nadzim, pihaknya mendapat maklumat tentang kegiatan Red Bean Army yang dikesan bermula sekitar 2007 dan gerakan bagi menghakis hubungan erat antara kaum di negara ini telah dilakukan dengan begitu tersusun serta strategik.

"Jika sesuatu isu dibangkitkan mengikut sudut kaum, keadaan kacau bilau akan wujud, kita tidak mahu negara ini jadi medan kacau bilau, soal perpaduan, keamanan dan keselamatan tidak boleh diperjudikan.

"Penubuhan suruhanjaya itu adalah keperluan mendesak yang amat serius, kita perlu mengetahui siapa petualang dan bagaimana mereka mendapat wang serta modus operandi yang digunakan dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter," katanya.

Sementara itu, menurut Dzulkarnain, pihaknya tidak mahu terburu-buru menuduh pembabitan DAP dalam Red Bean Army dan berharap penubuhan Suruhanjaya Diraja dapat merungkaikan kebenaran mengenai kewujudan tentera siber itu.

"Bahaya Red Bean Army ialah memecahbelahkan perpaduan kaum dan kita lihat kesannya apabila banyak institusi telah diserang dan dihina hingga melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Mara dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.

Menurutnya, bahaya yang dibawa oleh Red Bean Army ialah gerakan itu membangkitkan isu dalam media sosial mengikut sudut pandangan kaum yang boleh membawa elemen subversif dan melampau.

"Kita lihat Red Bean Army ada peranannya dalam menjadikan kematian Teoh Beng Hock sebagai isu kaum Cina dan polis juga didakwa membunuh kaum India dalam lokap,'' katanya.

Katanya, ekoran kejadian itu pihak berkenaan mendesak kerajaan mengadakan inkues tetapi perkara tersebut tidak berlaku dalam kes melibatkan orang Melayu seperti runtuhan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan kematian seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Tambahnya, beliau juga melihat tentera siber tersebut mempunyai peranan untuk menghasut penyokong parti pembangkang bagi melakukan demonstrasi jalanan yang menganggu-gugat keamanan serta keselamatan negara.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...