Friday, June 21, 2013

780) ARTIKEL PILIHAN DARI HARIAN METRO 21/6/13 : Doa diamal nabi, rasul



Dalam al-Quran terdapat banyak ayat berkaitan doa khususnya yang diamalkan nabi dan rasul. Mereka yang turut mengamalkannya tentu akan mendapat keberkatan. Berdasarkan panduan itu, antara doa yang dapat dititipkan ialah:

* Doa mohon perlindungan dan keselamatan keluarga

Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, bagi ibu bapaku, bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan beriman serta bagi orang lelaki yang beriman dan perempuan beriman. Dan janganlah Engkau tambahi orang yang zalim melainkan kebinasaan.

* Doa agar diampunkan segala kesalahan lalu

Wahai Tuhan kami, hanya kepada Engkaulah kami bertawakal, hanya kepada Engkaulah kami bertaubat dan hanya kepada Engkaulah kami kembali.

* Doa agar dijauhkan daripada gangguan orang kafir

Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan pendirian dan keyakinan kami terpesong kerana tindasan orang kafir dan ampunkanlah dosa kami wahai Tuhan kami. Sesungguhnya Engkaulah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

* Doa agar dikurniakan anak soleh

Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang soleh.

* Doa keamanan dan kemakmuran negeri

Wahai Tuhanku! Jadikanlah negeri ini aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka.

* Doa memohon kebijaksanaan dan dimasukkan ke dalam syurga

Ya Tuhanku, berikanlah kepadaku hikmah dan masukkanlah aku ke dalam golongan orang-orang yang soleh.

Jadikanlah aku buah tutur yang baik bagi orang-orang (yang datang) kemudian dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang mempusakai syurga yang penuh kenikmatan.

* Doa agar diterima amalan

Ya Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

* Doa agar berkekalan mentaati Allah

Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami orang yang berserah diri kepada-Mu dan jadikanlah keturunan kami (juga) umat yang berserah diri kepada-Mu. Tunjukkanlah kepada kami cara ibadat kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

* Doa agar dipertemukan jodoh

Ya Tuhanku, janganlah Engkau membiarkan hidupku seorang diri dan Engkaulah pewaris yang paling baik.

* Doa untuk mengelakkan daripada memohon suatu tidak sepatutnya


Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada memohon kepada Engkau sesuatu yang aku tiada mengetahui hakikatnya. Sekiranya Engkau tidak memberi ampun kepadaku dan tidak menaruh belas kasihan kepadaku, nescaya aku akan termasuk orang-orang yang rugi.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL