KUALA LUMPUR 19 Jun
- Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) disaran supaya memastikan tambang
bas ekspres kekal selama beberapa tahun lagi supaya pihak pengguna tidak
dibebani dengan harga tiket yang melambung naik.
Presiden Lembaga
Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin
Awang Yahya berkata, tambang bas tidak perlu dinaikkan sekiranya pengusaha
kenderaan itu tidak membaiki kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.
''Tindakan SPAD
menolak permohonan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk
menaikkan tambang bas adalah amat wajar dan kita menyokong sepenuhnya keputusan
tersebut.
''Namun begitu, SPAD
perlu memastikan harga tiket tidak dinaikkan sesuka hati saban tahun.
Sekurang-kurangnya dalam masa dua atau tiga tahun," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Semalam, SPAD
mengumumkan penolakan permintaan PMBOA untuk menaikkan tambang sebanyak 30
peratus pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini.
Bagaimanapun,
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pihaknya bersetuju untuk
membenarkan pengusaha mengenakan caj tambahan (surcaj) sebanyak 10 peratus
berkuat kuasa 8 Julai hingga 8 September untuk semua bas ekspres dan tambahan.
Mengulas lanjut,
Saharuddin berkata, pengusaha bas perlu memahami dan prihatin terhadap kekangan
kewangan golongan majoriti yang menggunakan perkhidmatan bas ekspres untuk
perjalanan jauh.
''Kebanyakan mereka
terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah, jadi perkhidmatan
yang disediakan harus bertepatan dengan kehendak pengguna," katanya.
Dalam pada itu,
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor
Osman berkata, SPAD dan pengusaha bas perlu bekerjasama dalam memastikan
permasalahan ini tidak terus berlarutan.
''Kedua-dua pihak
harus meneliti lebih mendalam tentang harga tambang bas ekspres supaya pengguna
dan pengusaha bas sama-sama beroleh keuntungan.
''Perkara ini perlu
dilihat daripada setiap sudut kerana kos turut mempengaruhi perkhidmatan serta
jualan tiket kepada pengguna," katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130620/dn_10/SPAD-disaran-pastikan-harga-tambang-kekal---LPKPM#ixzz2WosyAwEr
© Utusan Melayu (M)
Bhd
No comments:
Post a Comment