Friday, June 14, 2013

774) UTUSAN MALAYSIA 13 JUN 2013-Sekolah satu sistem terus disokong



KUALA LUMPUR 12 Jun - Kerajaan terus didesak untuk melaksanakan satu sistem persekolahan bagi memperkasa usaha memupuk semangat integrasi nasional dalam diri pelajar dari peringkat awal. 

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, sistem persekolahan seperti diterapkan dalam sistem sekolah kebangsaan dilihat mampu memupuk persefahaman antara pelajar berbilang kaum sejak sekian lama.

"Kerajaan wajar memperhalusi cadangan itu demi keharmonian dan kestabilan negara pada masa hadapan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan sebanyak 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam semalam supaya kerajaan mengkaji pelaksanaan sistem persekolahan yang tidak lagi bersandar kepada bahasa ibunda.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang mewakili gabungan NGO itu berkata, kajian pihaknya dengan beberapa tokoh masyarakat Cina dan India mendapati kewujudan sekolah aliran itu menjadi penghalang kepada usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak merdeka.

Menurutnya, kewujudan sebanyak 61 sekolah vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan ketika ini menjadi antara punca rakyat berbilang kaum gagal mengenali dan menghormati antara satu sama lain sehingga wujudnya jurang serta prasangka antara mereka.

Mengulas isu sama, Setiausaha Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Ahmad Nawawi Shaari berkata, perancangan rapi perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif sistem persekolahan tunggal itu tercapai.

"Cadangan satu sistem persekolahan ini akan berkesan jika pengisian dilakukan secara menyeluruh kerana kesannya hanya dapat dilihat dalam kalangan pelajar dalam jangka masa panjang," katanya.

Tambah beliau, semua pihak juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam memupuk nilai perpaduan antara kaum dalam golongan muda tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak sekolah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130613/dn_23/Sekolah-satu-sistem-terus-disokong#ixzz2WATnOnyR

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...