Monday, June 10, 2013

761) BERITA HARIAN 10 JUN 2013-Bersatu pertahan Islam



Keadaan semasa punca segelintir biadab di laman sosial

Kuala Lumpur: Tindakan sesetengah golongan yang berani mencerca dan menghina Islam menerusi laman sosial adalah kerana mereka melihat umat Islam tidak bersatu mempertahankan kesucian agama.
Justeru, tindakan golongan itu boleh dihentikan jika umat Islam kembali bersatu dan lebih komited untuk mempertahankan agama.

Sepatutnya rakyat Malaysia faham sensitiviti kaum dan agama. Kita contohi Singapura dan Thailand yang tegas menghukum individu yang menghina Perlembagaan negara” Nadzim Johan, Ketua Aktivis PPIM

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (gambar kecil), berkata keadaan sekarang yang menggambarkan seolah-olah umat Islam berpecah-belah dan tidak sehaluan menjadi punca keberanian golongan terbabit menghina agama Islam melalui laman sosial.

Katanya, muafakat dan hubungan utuh umat Islam boleh mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mencerca dan memandang rendah terhadap agama Islam.

“Jika umat Islam hilang integriti dan maruah serta membenarkan pihak lain memperalatkan mereka, akhirnya Islam tidak lagi dipandang tinggi dan menjadi contoh.
Sensitiviti kaum

“Sepatutnya, setiap rakyat Malaysia tahu dan faham sensitiviti semua kaum dan agama yang ada di negara ini. Keadaan ini boleh mengganggu-gugat keharmonian negara,” katanya.

Beliau diminta mengulas tindakan seorang pemegang akaun Facebook, menggunakan nama ‘Programmer Calvin Gani’ yang membuat penghinaan melampau terhadap Nabi Muhammad SAW.

Minggu lalu, seorang wanita pemilik akaun Facebook berusia 32 tahun ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan selepas didapati menghina Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 1 Jun lalu.

KDN diminta tegas

Sementara itu, Nadzim berkata, satu perhimpunan membabitkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan Islam akan diadakan pada Rabu atau Khamis ini bagi mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dianggap ‘buta hati’ itu.


“Pihak berkuasa perlu mencontohi Singapura dan Thailand. Mereka tegas menghukum mana-mana warga negara yang menghina Perlembagaan negara sendiri,” katanya.

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL