Friday, February 3, 2017

3403) POLIS DIMINTA AMBIL TINDAKAN INDIVIDU HINA ANGGOTA JPJ – BERITA HARIAN – 3/2/2017

                 berita harian 3.2.2017 2
PETALING JAYA: Dua laporan polis sudah dibuat berhubung penghinaan ke atas anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di media sosial kerana enggan menerima rasuah, seperti yang tersebar luas baru-baru ini. Laporan pertama dibuat pada 28 Januari lalu oleh anggota terbabit di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh, Perak dan satu lagi oleh Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJS) di Balai Putrajaya, kelmarin. Presiden KPPJS, Hamzah Masri, berkata tindakan individu memuat naik status itu dan menyebarkannya di media sosial jelas tidak bertanggungjawab. “Anggota hanya menjalankan tugas dengan mengeluarkan notis saman kerana individu berkenaan memandu di lorong kecemasan. “Hentikan viral ini dan kita minta polis segera mencari serta mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang memuat naik gambar berserta status menghina itu. “Berdasarkan situasi, wujud juga percubaan suapan, maka kita harap tindakan dapat diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya ketika ditemui pada Ops Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina 2017 di Plaza Tol Taman Dato Harun, di sini, tengah malam tadi. Menurut laporan dibuat anggota berkenaan, kejadian berlaku kira-kira jam 4.25 petang pada 27 Januari lalu di Kilometer 318.8 Lebuh raya Utara Selatan arah utara, berhampiran Tapah. Dalam kejadian itu, anggota berusia 37 tahun bersama pasukannya yang melakukan rondaan di sempena Ops Tahun Baharu Cina 2017, menahan sebuah kereta jenis PERODUA Myvi dan mengeluarkan notis saman kepada pemandu kerana memandu di lorong kecemasan. Kesalahan itu tidak boleh dikompaun, sebaliknya terus diambil tindakan mahkamah. Pemandu berkenaan didakwa cuba memberi rasuah dengan menawarkan sejumlah wang tetapi ditolak anggota terbabit sebelum beredar dari lokasi. Kejadian itu menjadi viral apabila satu paparan skrin akaun WeChat milik seorang wanita yang memuat naik status berserta gambar anggota JPJ menjalankan tugas, tersebar di laman sosial Facebook. Menerusi status yang dimuat naik, individu itu dikatakan menghina anggota JPJ dengan pelbagai kata-kata kesat kerana enggan menerima wang ditawarkan selepas dia dan rakannya ditahan kerana memandu di lorong kecemasan.



Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...