Thursday, February 9, 2017

3416) PPIM GESA LOGO KHAS BAGI BARANGAN BERKAITAN BABI - MALAYSIA KINI - 8/2/2017

PPIM GESA LOGO KHAS BAGI BARANGAN BERKAITAN BABI

Bukan sahaja berus cat berbulu babi, tetapi semua barangan yang mempunyai asas binatang itu perlu mempunyai "logo babi" dan label bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengguna, terutamanya kepada umat Islam, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Menurut pengerusi NGO itu, Datuk Nadzim Johan, pihaknya telah menerima aduan di mana pengguna Islam secara tidak sengaja terbeli produk yang mengandungi babi, oleh itu beliau mahu kerajaan mengeluarkan label logo khas berkenaan.
Selain berus cat, katanya, banyak produk makanan, kasut, peralatan dapur serta pakaian yang terdapat di pasaran juga mengandungi babi.
"Segala-galanya. Mereka harus mempunyai logo (babi).
"Kita juga akan takut jika kita terpakai jaket babi.
"Jika ada logo, apabila mereka (kedai) menipu (pengguna), (kerajaan) boleh mengambil tindakan. Jika tidak, tidak boleh," katanya pada sidang media hari ini di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Bernama memetik Nadzim sebagai berkata, label dan logo itu bertujuan memudahkan pengguna mengetahui maklumat mengenai sesuatu produk dengan lebih terperinci dan mengelakkan kekeliruan terhadap pengguna.
"Sebagai pengguna kita perlu mempunyai hak untuk mengetahui dan hak untuk mendapatkan maklumat mengenai sesuatu barangan yang dibeli... kalau hak mendapat maklumat tak ada seperti sekarang maka ianya menyusahkan sebab kita tak tahu produk itu dibuat daripada apa.
"Ini bukan sahaja untuk kebaikan orang Islam tetapi juga untuk kaum lain kerana ada sesetengah bahan yang kita tak boleh makan bukan kerana halal atau haram, tetapi kerana alahan dan ada juga pengguna vegetarian, jadi setiap produk dan barang yang dijual kena ada logo dan mempunyai label," katanya.
Nadzim berkata sekiranya logo atau label dipamerkan pada setiap barangan yang dijual, ianya akan lebih memudahkan pengguna.
"Kalau guna kod dan label biasa tanpa menggunakan gambar, memang pengguna tidak akan tahu produk tersebut dibuat daripada apa. Tetapi kalau ada logo gambar, semua orang akan tahu dan mereka (pengguna) boleh membuat pilihan masing-masing," katanya.
Menurutnya kerajaan perlu tegas dalam menangani isu penggunaan produk yang dihasilkan daripada babi memandangkan ianya telah berlanjutan hampir 20 tahun.
"Sebenarnya, isu penggunaan babi memang dah lama dan kita juga turut menerima banyak aduan sejak 20 tahun lalu...apa yang paling dikhuatiri ialah makanan, dan apa-apa yang kita pegang terutamanya barangan seperti kasut, berus, tali pinggang, sarung tangan dan pelbagai lagi.
"Dahulu, kita boleh kenali barang yang diperbuat daripada babi dengan tanda tiga titik pada produk, tetapi sekarang barang yang dihasilkan daripada babi tak ada titik pun kerana perkembangan industri," katanya.
Nadzim berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) minggu depan bagi membincangkan isu tersebut.
Semalam, KPDNKK menyita sebanyak 2,003 berus cat diperbuat daripada bulu babi benilai RM10,988.94 hasil daripada 157 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negara.
SUMBER DARI malaysiakini

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...