Monday, February 20, 2017

3488) KPI KHAS ATASI ISU KOS SARA HIDUP – SINAR HARIAN – 18/2/2017

KPI Khas Atasi Isu Kos Sara Hidup
SUDAH sampai masanya sebuah petunjuk prestasi utama (KPI) khusus bagi memerangi atau mengatasi masalah kos sara hidup dilaksanakan dalam negara kita.
Ia boleh dilaksanakan oleh semua pemimpin kerajaan, sama ada yang berada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri dalam usaha membanteras isu kenaikan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat pada masa kini.
Tidak dapat dinafikan isu kos sara hidup tidak dapat dielakkan kesan daripada impak masalah ketidakmenentuan harga minyak global serta suasana ekonomi dunia yang berada dalam keadaan tidak stabil yang turut memberi kesan terhadap ekonomi dalam negara kita.
Peningkatan kos sara hidup juga dilihat menjadi satu isu semasa semenjak pengenalan serta penguatkuasaan sistem percukaian harga barangan dan perkhidmatan baharu yang telah yang telah dilaksanakan.
Akibat daripada peningkatan harga barangan serta perkhidmatan terbabit, wujud pula pihak–pihak yang tidak bertanggungjawab yang turut ingin mencari jalan serta mengambil peluang meningkatkan harga jualan barangan serta perkhidmatan mereka dengan cara yang tidak sepatutnya sehingga membebankan golongan pengguna.
Oleh yang demikian, cadangan bagi mewujudkan sebuah KPI khusus bagi memerangi serta mengatasi isu kos sara hidup dalam negara kita perlu dilihat sebagai satu usaha positif bagi mengurangkan masalah dialami rakyat masa kini.
Perkara yang sama juga pernah dicadangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) beberapa tahun yang lalu. Cadangan yang telah dikemukakan itu perlu dinilai dengan serius serta dilaksanakan dengan segera bagi melindungi rakyat dari masalah kenaikan kos sara hidup.
Melalui kewujudan KPI, ia dapat menjadikan agenda mengurangkan kenaikan kos sara hidup rakyat sebagai satu agenda penting dan utama oleh semua pihak yang berkaitan dalam mengutamakan kesejahteraan hidup rakyat.
Selama ini, pihak kerajaan juga telah menyarankan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk–petunjuk prestasi utama (KPI) yang diterapkan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Sejajar dengan visi, misi dan fungsi agensi, setiap organisasi perlu mengukur prestasi perkhidmatan yang diberikan bagi memastikan semua perkhidmatan berkenaan disampaikan kepada rakyat dengan baik. Ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai tahap prestasi serta kecekapan organisasi secara keseluruhannya.
Dalam proses pembentangan Bajet 2010 pada 23 Oktober 2009, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga ada menyatakan semenjak memegang teraju kerajaan, beliau akan melaksanakan sistem KPI dalam melunaskan segala urusan negara.
Pelbagai jenis petunjuk boleh dimasukkan dalam KPI, khusus bagi memerangi atau mengatasi masalah kos hidup seperti yang telah dicadangkan.
Umpamanya dengan memasukkan sasaran jangka pendek, sederhana dan panjang oleh pihak–pihak yang berkaitan dalam usaha mengurangkan masalah tekanan kos hidup rakyat yang berada di kota dan yang berada di luar bandar, menilai tahap pematuhan terhadap segala undang–undang dan peraturan sedia ada bagi membendung isu golongan yang tidak bertanggungjawab, yang mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menipu pengguna, serta menilai tahap kepuasan pengguna secara keseluruhannya dalam negara kita dari semasa ke semasa.
Penggunaan KPI khusus mengenai perkara terbabit adalah penting bagi memastikan segala sasaran yang telah ditetapkan khusus untuk mengatasi serta memerangi kos sara hidup dalam negara kita tercapai dengan jayanya.
Melalui penggunaan KPI juga, usaha atau tindakan penambahbaikan dapat dilakukan demi menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat dalam menghadapi suasana ekonomi yang kian mencabar pada masa kini.
* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang–Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
SUMBER DARI : SINAR HARIAN
http://www.sinarharian.com.my/mobile/karya/pendapat/kpi-khas-atasi-isu-kos-sara-hidup-1.630389

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...