Monday, February 6, 2017

3411) KILANG PUN KOTOR - HARIAN METRO - 6/2/2017

                    METRO 6.2.2017

  Alor Setar: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) merampas 204 paket bebola ikan di sebuah kilang di Jalan Gangsa, Mergong, di sini, kerana tidak mengikut spefisikasi pelabelan pembungkusan ditetapkan kementerian itu. Pengarahnya, Mohamad Fitri Hassan berkata, tindakan itu diambil susulan viral di media sosial mengenai syarikat terbabit menggunakan dua label nama bagi satu produk bebola ikan hingga mengelirukan pengguna beragama Islam minggu lalu. Katanya, menerusi operasi bersepadu disertai 24 anggota daripada Bahagian Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri serta Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah jam 2 petang semalam, premis terbabit turut disita kerana terlalu kotor. “Kami mendapati kilang terbabit tidak mempamerkan jumlah berat atau kuantiti bebola ikan itu, selain tidak tertulis pekilang, pengimport atau pengeluar. “Di label berkenaan hanya ditulis nama dan alamat kilang, ia kesalahan mengikut Perkara 3(1)(b) Perintah Kawalan Harga (Pelabelan oleh Pekilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980. “Jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu denda maksimum RM100,000 bagi pertubuhan perbadanan dan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi orang perseorangan,” katanya semasa sidang media di Pejabat PPDNKK di sini, semalam. Mohamad Fitri berkata, pihaknya turut mengambil keterangan empat pekerja termasuk pemilik kilang terbabit berusia 40 hingga 50-an untuk membantu siasatan. Katanya, kilang yang beroperasi sejak lapan tahun lalu itu diarah ditutup selama 14 hari oleh KKM untuk sesi pembersihan. “Bebola ikan ini dijual untuk pasaran Kedah dan Perlis, mereka menjual mengikut permintaan dan kami juga dapati label bungkusan bebola ikan itu tidak ada tanda halal kerana pihak kilang tidak pernah memohon untuk mendapatkan sijil halal. “Jadi kami menasihatkan kepada pengguna beragama Islam supaya peka dengan keperluan masing-masing dan buat pilihan dengan produk makanan yang ada tanda halal,” katanya. Beliau berkata, dalam akta kementerian, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan sekiranya kilang itu memaparkan nama seperti Melayu pada label produk. “Tindakan hanya boleh diambil sekiranya mereka memaparkan nama Allah, Muhammad, Bismillah atau gambar masjid kerana berkaitan agama Islam,”katanya.  

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...