Thursday, February 9, 2017

3417) ISU BARANGAN BERUNSUR BABI: KERAJAAN DIGESA PERKASA PENGUATKUASAAN PELABELAN - ASTRO AWANI - 8/2/2017

ISU BARANGAN BERUNSUR BABI: KERAJAAN DIGESA PERKASA PENGUATKUASAAN PELABELAN
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa agar kerajaan memperkasakan undang-undang pelabelan barangan jualan serta penguatkuasaannya bagi mengelak kekeliruan dan penipuan terhadap pengguna.
Menurut Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan, pengguna tidak mempunyai kuasa mendakwa pekedai sekiranya mendapati barangan dibeli memiliki unsur bertentangan dengan pegangan mereka, khususnya pengguna Islam.
Jelasnya, biarpun isu ini (barangan berunsur babi dan anjing) sudah lama, tetapi ia masih berlaku kerana didapati undang-undang pelabelan yang ada tidak dipatuhi sepenuhnya.
“Sepatutnya setiap produk mesti ada label, dan kalau ikut hak asasi pengguna memang kena ada penerangan produk.
“Kalau dia (pekedai) tidak meletak label, sebenarnya tiada tindakan yang boleh kita ambil; kita tidak boleh mendakwa dia.
"Contohnya, kalau kedai itu tulis ‘Halal’, kita boleh tuduh dia kalau barang yang kita beli itu tidak halal. Tapi kalau dia tidak tulis, kita memang tidak boleh buat apa-apa sebab dia (pekedai) akan kata dia hanya menjual barang, halal atau tidak halal itu terpulang,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Malah, kata Nadzim, teknologi pembuatan masa kini juga membuatkan pengguna sukar untuk mengenal pasti bahan buatan sesuatu barangan.
Beliau memberi contoh barangan berasaskan kulit babi di mana menurutnya sering dikaitkan dengan tanda tiga titik, namun beliau berkata tanda itu kini dapat dihilangkan oleh pembuat produk dan keadaan ini sememangnya mengelirukan pengguna.
Justeru, beliau menekankan bahawa pentingnya label pada produk, dan pada masa sama turut mencadangkan agar pelabelan yang dibuat memudahkan pemahaman segenap lapisan masyarakat, seperti meletakkan logo atau lambang di samping tulisan.
Tambahnya, sepanjang tahun lepas sahaja, hampir 50 aduan diterima PPIM berhubung barangan berkaitan babi.
Bagaimanapun, tegas Nadzim, perkara ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada bahu kerajaan dan pihak berkuasa semata-mata. Pengguna juga perlu bijak dan mengetahui hak mereka bagi mengelak daripada terus keliru dan menjadi mangsa penipuan pihak pengeluar dan penjual yang licik.
Beliau melihat kesedaran dan pengetahuan pengguna mengenai hak mereka mendapat maklumat tentang barangan masih rendah dan ini harus diubah.
“Kita sebagai pengguna ada hak untuk tahu dan dapat maklumat tentang barangan. Kemudian terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan.
“Takkanlah semua benda nak harapkan kerajaan. Kalau kita berada di tempat yang bukan bawah kuasa kerajaan kita nanti macam mana?” ujarnya.
Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor merampas 150 unit berus yang diperbuat daripada bulu babi dalam satu operasi serbuan di dua buah premis kedai perkakasan pembinaan.
Pemeriksaan mendapati produk tersebut menggunakan logo halal palsu.
SUMBER DARI : ASTRO AWANI

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...