Monday, February 20, 2017

3487) BAYAR RM-RM UNTUK DOA DIMAKBUL – SINAR HARIAN – 18/2/2017

BAYAR RM-RM UNTUK DOA DIMAKBUL 

*SUKAR untuk berdoa di hadapan Kaabah? Kini ada cara mudah – menerusi Valet Doa! Ini adalah satu cara kiriman doa untuk dibacakan di Tanah Suci.
Seperti yang ditularkan di media sosial, perkhidmatan ini diwujudkan bagi memudahkan mereka yang tidak mampu – atas masalah kewangan atau sebab-sebab lain – ke Makkah dan berdoa di sana.
Dengan bayaran tertentu kepada Valet Doa, apa juga doa akan dibacakan di Tanah Suci, dan dijamin doa akan dimakbulkan dalam tempoh tertentu.
Bayar kadar yang telah ditetapkan, dan doa dimakbulkan, demikian yang menular di media sosial awal minggu. Ada sesiapa ingin mencuba? Tunggu dulu…
*MEMANG sedap didengar. Tetapi menurut ulama, perkhidmatan yang ditawarkan menerusi Valet Doa tidak menepati kaedah sebenar Islam. “Mengarut!” kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Kata Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri: “Ia (Valet Doa) jelas menunjukkan sifat komersial dan ini manipulasi doa.”
“Tidak usah ikut, dan jangan percaya,” kata Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, sambil menambah: “Kalau letak harga tinggi mana pun bukan menjamin doanya akan diterima. Nampak sangat ini hanya bisnes.”
Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman pula menasihati umat Islam tidak menggunakan ‘penjual agama’ untuk membantu membacakan doa, khususnya di Makkah.
Sebagai umat Islam, sama-sama kita fikirkan!
*PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pun prihatin terhadap kegiatan menggunakan agama untuk tujuan komersial, seperti yang jelas dalam isu doa berbayar.
Ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, isu agama kini sudah menjadi terlalu komersial sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.
Beliau meminta Majlis Fatwa dan Jakim memainkan peranan dengan mewujudkan garis panduan yang jelas. Jika dibiarkan kita bimbang kesucian agama Islam akan terus dikomersialkan.
*KALAU kita peka, tentu kita boleh lihat selama ini pun perkara-perkara agama memang telah dikomersialkan, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Sebagai contoh ada syarikat yang menjual air yang didakwa telah dibaca dengan sekian banyak ayat suci al-Quran. Konon kerana telah dibaca dengan ayat-ayat ALLAH, air tersebut mujarab untuk menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.
Maka air yang sepatutnya hanya RM1 sebotol dijual pada harga RM5 hingga RM10 sebotol. Selain air, ada beraneka jenis makanan dan buah-buahan yang dikatakan telah dibaca dengan ayat-ayat suci dan dijual pada harga tidak munasabah.
Malah, untuk meyakinkan pembeli, ada sesetengah ustaz telah digunakan sebagai duta produk. Tidakkah ini juga sesuatu yang amat mengelirukan? Inilah yang sedang terjadi – dan dibiarkan! – dalam masyarakat kita sekarang.
Agaknya ini mungkin salah satu sebab mengapa orang bukan Islam berani memperlekeh kesucian agama kita!
*LARI dari isu agama, kita cakap politik. Mulanya beria-ia benar Datuk Seri Jamal Md Yunos hendak meletakkan jawatan Ketua Umno Bahagian dan Pengerusi BN Sungai Besar.
Penyerahan surat peletakan jawatan itu mendapat liputan media, apabila Jamal menegaskan beliau tidak mahu parti Umno kesayangannya dipalitkan dengan beberapa tindakan tidak senonoh yang dilakukan.
Sehari selepas itu Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata Umno negeri sebulat suara menolak peletakan jawatan Jamal.
Kalau Jamal anak jantan dan betul-betul tegas beliau pasti tidak mengendahkan pujukan mana-mana pihak, dan terus dengan hasrat asalnya yang berkobar-kobar itu.
Tetapi kalau beliau termakan pujuk dan tidak jadi berhenti, maka betullah telahan banyak orang bahawa tindakannya yang nampak beria-ia di peringkat awal itu hanyalah acah-acah dan sandiwara semata-mata.
*DALAM Umno orang yang hendak berhenti dipujuk jangan berhenti. Berlainan pula dalam Pas; orang yang disuruh berhenti tidak mahu berhenti.
Datuk Mahfuz Omar yang banyak kenyataannya tidak disenangi pucuk pimpinan, dinasihatkan supaya keluar Pas daripada terus mengkritik dan menyerang parti itu.
Kata Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah: “Seelok-eloknya dia yang keluar, daripada jadi macam sekarang ini, tidak tahu ke mana, duduk dalam Pas tapi serang Pas.”
Tetapi ramai menjangka Anggota Parlimen Pokok Sena itu tidak akan meninggalkan parti. Bagi sesetengah orang Mahfuz mungkin dianggap duri dalam daging. Tetapi bagi sesetengah orang pula biarlah daging itu berduri supaya orang lebih berhati-hati untuk mengunyah dan menelannya.
*AKHIR kalam, Mahfuz tidak terkilan sebaliknya berterima kasih. Katanya, seperti yang disiarkan media: “Terima kasih Datuk Nik Amar kerana halau saya. Insya-ALLAH, saya akan terus bawa suara akar umbi Pas demi cinta serta sayang terhadap Pas.”
Sahlah, orang Pokok Sena ini ingin membuktikan dia bukan sebarang duri!
SUMBER DARI : SINAR HARIANhttp://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/tok-perak/bayar-rm-rm-untuk-doa-dimakbul-1.630388

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...