Wednesday, February 22, 2017

3498) Isu Pengurangan Penjawat Awam : Antara Kualiti dan Kuantiti - MALAYSIA AKTIF - 22/02/2017

                                           Isu Pengurangan Penjawat Awam Antara Kualiti dan Kuantiti
 KUALA LUMPUR, 22 Februari (Malaysiaaktif) – Cadangan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkenaan pengecilan jumlah penjawat awam yang dilihat mampu mengurangkan kos operasi Kerajaan minggu lalu menimbulkan pelbagai reaksi. Sebilangan besar berpendapat, cadangan itu tidak berasas dan tidak kena pada masanya kerana ia bakal mempengaruhi kadar pengangguran dan kebajikan penjawat awam itu sendiri. Ada pula segelintir yang melihat, langkah ini mampu memastikan pentadbiran Kerajaan yang lebih kos efektif pada masa hadapan. Justeru, cadangan sama ada mengekalkan atau mengurangkan jumlah penjawat awam ini perlu dilihat secara holistik dan tidak semata-mata bersandarkan kepada penyelesaian jangka pendek yang bakal memberi kesan berganda kepada banyak pihak. Bagi Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, fokus seharusnya tidak diberikan kepada jumlah penjawat awam sedia ada tetapi kepada penyampaian perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat. “Tumpuan harus diberikan untuk melatih penjawat awam supaya lebih efisien melalui latihan dan kursus berkaitan dengan tugas mereka. Produktiviti penjawat awam itu perlu ditingkatkan kerana rakyat memerlukan pegawai yang berkualiti dalam menjalankan tugas,” jelasnya lagi. Tambahnya lagi, melalui latihan dan kursus yang sesuai akan menjadikan penjawat awam lebih serba boleh dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Sehubungan itu, sekiranya negara mempunyai penjawat awam yang berkaliber, jumlah dan bilangan bukan satu isu besar. “Kos untuk mengambil pegawai menyertai perkhidmatan awam melibatkan dana yang besar. Oleh itu Kerajaan perlu menyaring individu yang mempunyai usaha dan semangat yang tinggi sebelum menyertai perkhidmatan awam agar prestasi yang diberikan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga,” tambah Datuk Nadzim. Datuk Nadzim juga bersetuju dengan pendapat menswastakan beberapa Jabatan dan Agensi dalam usaha menjimatkan perbelanjaan Kerajaan. Namun ia perlu melibatkan kajian terperinci kerana keperluan rakyat perlu diberikan perhatian dan bukanya membuat keuntungan semata-mata. “Bagi saya, cadangan penswastaan ini bagus. Tapi, tak semua boleh diswastakan. Perkhidmatan kaunter dan pengumpulan maklumat awal antara segmen yang boleh berdiri sendiri tanpa bantuan dana Kerajaan kerana rakyat membuat bayaran berpatutan atas setiap perkhidmatan yang diterima,”  katanya. SUMBER DARI : MALAYSIA AKTIF http://malaysiaaktif.my/malaysiaaktif2/?p=31861#more-31861

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...