Monday, February 6, 2017

3414) PREMIS JUDI HARAM NAIK 60 PERATUS - UTUSAN MALAYSIA - 6/2/2017

                              UTUSAN MALAYSIA 6.2.2017

  KUALA LUMPUR 5 Feb. - Gejala judi haram di Se­langor yang berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga menjadi kebimbangan utama orang ramai yang menuntut Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mengambil langkah proaktif. Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah berkata, keadaan itu semakin membimbangkan apabila kajian pihaknya mendapati terdapat peningkatan sebanyak 60 peratus jumlah premis judi haram dalam tempoh dua tahun di kawasan perumahan orang Melayu. Katanya, PBT juga sepatutnya menghentikan pengeluaran le­sen pusat hiburan keluarga ke­rana kebanyakan yang memohon untuk membuka perniagaan tersebut tidak jujur apabila turut menjadikan premis tersebut sebagai pusat judi haram. “Saya sebagai pemimpin JMM telah menerima banyak aduan daripada ahli-ahli serta orang ramai mengenai kebimbangan mereka terhadap aktiviti judi haram dan menyuarakan perkara tersebut kepada pihak media, PBT dan polis sejak bertahun lamanya. “Polis perlu berlaku adil dan tidak gentar untuk menguatkuasakan undang-undang. Pemilik premis-premis berkenaan perlu diambil tindakan tegas dan jika mendapati perniagaan yang dijalankan tidak sah atau melanggar peraturan, perniagaan mereka perlu ditutup serta-merta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Mingguan Malaysia menerusi ruangan pojok Awang Selamat hari ini turut mengulas mengenai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang ditahan polis bersama sembilan pengikutnya bagi membantu siasatan tuduhan menceroboh dan curi di pusat hiburan, Khamis lalu. Awang Selamat turut berkongsi sentimen orang ramai terhadap isu tersebut sambil bertanya adakah kelantangan Jamal mendedahkan mengenai aktiviti judi haram yang berselindung di pusat hiburan keluarga maka beliau mudah menjadi sasaran pihak berkuasa.   Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, berikutan tangkapan yang dilakukan terhadap Jamal itu, beliau telah menerima ribuan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang kini tular di media sosial dengan menghina PDRM. Katanya, mesej-mesej tersebut melahirkan kekesalan kerana pihak berkuasa gagal bertindak adil dalam membanteras jenayah dan melindungi masyarakat. “Malah tidak kurang juga beberapa orang yang mengadu pada kami sambil membuat anggapan wujudnya kemungkinan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa. “Saya malu apabila membaca pesanan tersebut kerana saya juga lahir dalam keluarga yang mempunyai latar belakang sebagai polis. Pihak berkuasa perlu membersihkan imej pasukan tersebut dan tidak boleh menutup sebelah mata cuba melin­dungi individu-individu tertentu,” katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...