Thursday, December 26, 2013

1058) UTUSAN MALAYSIA 24/12/2013 KOS AMAH IKUT PASARAN MELAMPAU





KUALA LUMPUR 24 Dis. - Cadangan penetapan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia mengikut harga pasaran iaitu dalam lingkungan RM10,000 hingga RM11,000 seorang, dianggap sebagai kenaikan yang melampau.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya bimbang harga pembantu rumah mengikut pasaran akan dikawal oleh pihak-pihak tertentu yang mahu memanipulasi dan mengaut keuntungan semata-mata.

"Pada ketika ini, kos harga yang telah ditetapkan untuk pembantu rumah Indonesia sudah tinggi, jadi dikhuatiri jika ia mengikut harga pasaran, kami bimbang harga tersebut akan dikuasai oleh pihak tertentu yang ingin untung.

"Malah, jika pembantu rumah Indonesia kurang berminat untuk bekerja di sini, kita juga boleh mengambil jalan alternatif lain dengan mempelawa kemasukan pembantu rumah dari Kemboja atau negara lain yang menawarkan kos yang rendah dan berpatutan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia (Pikap), Datuk Raja Zulkepley Dahalan yang mahu kos pengambilan pembantu rumah asing dari Indonesia ditentukan oleh harga pasaran.

Raja Zulkepley menyifatkan kos baharu pengambilan pembantu rumah dari negara itu yang ditetapkan pada RM7,800 September lalu masih tidak dapat menarik kehadiran mereka ke negara ini dan merugikan agensi pekerja asing.

Katanya, berdasarkan Indonesia Recruitment Agency (IRA), bayaran untuk biodata pembantu rumah Indonesia sahaja RM6,500 hingga RM8,000, belum lagi kos seperti bayaran untuk levi, pemeriksaan perubatan, bayaran pendahuluan dan kos pengangkutan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berpendapat, kerajaan perlu campur tangan berikutan perkara itu dilihat membebankan agensi pekerja asing dan pengguna.

Katanya, satu penetapan bayaran yang tetap dan terkawal amat perlu bagi memastikan tiada penindasan berlaku ke atas kedua-dua pihak.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi pula berkata, kenaikan harga itu adalah tidak wajar kerana standard perkhidmatan ditawarkan oleh pembantu rumah masih tidak memuaskan.

"Selain itu, ia juga dilihat menjejaskan pengguna yang kebanyakannya merupakan golongan pertengahan," katanya.


Malah katanya, kenaikan harga yang dicadangkan itu berkemungkinan memberi risiko kepada majikan yang mengambil pembantu rumah asing.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...