Saturday, December 21, 2013

1041) UTUSAN MALAYSIA 21/12/2013 PROJEK PERUMAHAN KAKITANGAN AWAM PERLU DIPERLUAS KEPADA PEKERJA SWASTA





KUALA LUMPUR 20 Dis. - Cadangan kerajaan untuk membina projek perumahan dalam lingkungan harga RM90,000 bagi penjawat awam perlu diperluaskan kepada pekerja swasta bagi memastikan setiap rakyat menikmati manfaat tersebut.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu perlu dipertimbangkan kerana golongan berkenaan turut menanggung peningkatan kos hidup.

Tambahan pula katanya, sewaktu isu harga rumah yang terlampau mahal dan tidak mampu dimiliki masih belum menemui titik penyelesaian, rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan tol, minyak dan sebagainya.

Jelasnya, ekoran peningkatan kos sara hidup itu, ramai pekerja swasta tidak lagi menikmati kualiti hidup yang sihat kerana perlu mencari sumber kewangan lain bagi menampung keperluan hidup.

"Ada yang perlu bekerja di pejabat pada waktu siang dan mengajar tuisyen kepada anak jiran pada waktu malam. Walaupun dari satu sudut dilihat positif, namun kualiti hidup seseorang akan jatuh ekoran kepenatan," katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berhubung kesediaan kerajaan membina projek perumahan untuk penjawat awam dalam lingkungan harga sekitar RM90,000 bagi membolehkan golongan itu memiliki rumah sendiri.

Tambahnya, masalah harga rumah yang terlalu mahal boleh diatasi dengan bantuan peruntukan yang disediakan oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) bagi menampung kos kerajaan membina rumah.

Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Saharuddin Awang Yahya berkata, kerajaan perlu menyegerakan projek rumah pasang siap berharga RM100,000 ke bawah bagi memberi peluang kepada pekerja swasta khususnya dan golongan belia memiliki rumah sendiri.


Katanya, kerajaan juga perlu menimbangkan reka bentuk kediaman yang dibina supaya sesuai dengan keperluan sesebuah keluarga.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...