Monday, December 9, 2013

1028) HARIAN METRO 7/12/2013 -DBKL DENGAR BANTAHAN-

Headline: DBKL dengar bantahan
Publication: HM
Date of publication: Dec 7, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 036
Byline / Author: Oleh Ardyhansah Amat


Kuala Lumpur: Terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana mahu mendengar bantahan projek pembangunan komersial di dua lot bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan.

Demikian luahan wakil penduduk Hartamas Height Azim Abdul Aziz, selepas menghadiri sesi pendengaran bantahan mengenai projek berkenaan, di sini, semalam.

"Selepas bantahan dilakukan Julai lalu, akhirnya kami dimaklumkan DBKL untuk menghadiri sesi pendengaran bantahan secara rasmi hari ini (semalam)

"Selain penduduk, wakil dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) dan pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan hadir bagi menyatakan bantahan pembangunan komersial di situ.

"Saya ingin menegaskan walaupun penduduk Hartamas Height terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat berlainan agama, mereka (yang bukan beragama Islam) juga menolak pembangunan komersial itu yang dianggap bakal menyebabkan kesesakan lalu lintas semakin kronik," katanya.

Tambah Azim, DBKL memaklumkan akan membuat laporan kepada Unit Pusat Setempat (OSC) dan Datuk Bandar Datuk Seri Ahmad Phesal berhubung perbincangan semalam.

"Selain itu, melalui surat yang dihantar salinan kepada saya, Kementerian Wilayah Persekutuan juga ada meminta keterangan dari Datuk Bandar dan DBKL berhubung projek pembangunan komersial itu.

"Saya ingin tegaskan kami masih tidak menolak pembangunan, namun bukanlah membabitkan projek mega termasuk kawasan komersial, bangunan pejabat dan sebagainya yang lebih banyak mendatangkan keburukan dari kebaikan," katanya.

Julai lalu, Harian Metro melaporkan, rintihan penduduk Hartamas Height yang membantah tindakan DBKL mengeluarkan notis cadangan pembangunan komersial bersebelahan Masjid Wilayah Persekutuan menerusi laporan 'Projek 'tutup' Masjid'.

Menerusi beberapa lakaran grafik, penduduk mendakwa pembangunan mega yang membabitkan pembinaan beberapa menara yang mencecah ketinggian 49 tingkat itu mampu 'menutup' pandangan masjid dari seluruh arah barat, barat laut dan barat daya.

Malah, penduduk mendakwa sehingga kini lot terbabit masih lagi dalam zon perumahan dan niat mereka untuk menjadikannya kawasan komersial dilihat bakal menarik lebih banyak kenderaan masuk ke situ seterusnya menyebabkan kesesakan lalu lintas berlaku.



Selain itu, cadangan projek itu juga mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPMWPKL) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang beranggapan ia tidak prihatin terhadap sensitiviti kawasan persekitaran sebuah pusat ibadat bertaraf masjid negeri

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...