Saturday, December 21, 2013

1042) UTUSAN MALAYSIA 21/12/2013 LANGKAH BIJAK, UTAMAKAN RAKYAT








KUALA LUMPUR 20 Dis. - Pengurangan kadar cukai taksiran yang diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam dilihat sebagai satu langkah tepat dan bijak dalam memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar baharu nanti.

Pengerusi Majlis Gabungan Badan Pengurusan Bersama dan Perbadanan Pengurusan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Yusri Ahmad berkata, rakyat tidak menentang kenaikan kadar cukai namun membantah kadar yang melebihi daripada kemampuan.

"Rakyat gembira apabila kerajaan mendengar rintihan yang disuarakan melalui surat bantahan yang dihantar kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seterusnya mengurangkan kadar cukai.

"Kadar cukai yang dikurangkan juga adalah amat berpatutan, antaranya pemilik hartanah komersial hanya perlu membayar sepuluh peratus daripada nilai sewaan hartanah, berbanding 12 peratus sekarang dan rumah pangsa kos rendah pula hanya perlu membayar dua peratus berbanding enam peratus ketika ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tengku Adnan semalam yang mengumumkan kadar cukai taksiran yang dikenakan kepada lebih 500,000 pemegang hartanah di ibu negara sejak 21 tahun lalu akan dikurangkan.

Mengulas lanjut, Yusri berkata, bagaimana pun masih terdapat kekeliruan mengenai kategori perumahan yang sama namun dikenakan kadar cukai yang berbeza.

"Contohnya di Flat Sri Langkawi 2 dengan Gombak Fasa 2 di mana masing-masing kadar cukai yang dikenakan adalah berbeza. DBKL perlu kaji dan selaraskan dahulu kadar ini sebelum melaksanakan cukai baharu tersebut," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, biarpun langkah kerajaan mengurangkan kadar cukai adalah bagus namun jika ditangguhkan hingga ke 2015 adalah lebih baik.

"Ini kerana rakyat telah pun tertekan dengan pelbagai kenaikan yang berlaku secara serentak, oleh itu penangguhan pelaksanaan kadar cukai yang baharu mampu memberi 'nafas' kepada mereka.

"Saya minta kerajaan merancang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu kenaikan agar tidak memberi gambaran buruk kepada kerajaan nanti," katanya.

Tambahnya, dengan kenaikan cukai, harga barang, dan sebagainya dikhuatiri akan menyebabkan sesetengah golongan mengambil kesempatan di atas kenaikan tersebut.


"Contohnya peniaga yang sesuka hati menaikkan harga barang, kerajaan perlu pantau perkara ini terlebih dahulu dan pastikan ia tidak berleluasa," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...