Friday, December 6, 2013

1026) UTUSAN MALAYSIA 5/12/2013 TARIF ELEKTRIK NAIK : PERLU CARI ALTERNATIF ELAK PENGGUNA TERBEBAN


KUALA LUMPUR 4 Dis. - Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air digesa mencari alternatif bagi mengelakkan pengguna terbeban dengan kenaikan tarif elektrik bermula Januari depan.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Paul Selva Raj berkata, antara alternatif yang boleh dipraktikkan adalah menerusi pendidikan kepenggunaan kepada rakyat.

"Pendidikan dari segi penggunaan barangan elektrik perlu diberikan bagi mengatasi masalah kenaikan tarif elektrik dengan membantu pengguna mengetahui cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di rumah.

"Saya percaya dengan cara itu, rakyat dapat menjimatkan elektrik dengan cara yang betul seterusnya mengurangkan beban terpaksa dihadapi dengan kenaikan tarif elektrik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berkuat kuasa 1 Januari 2014, kadar purata tarif elektrik di Semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj atau peningkatan sebanyak 14.89 peratus daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.53 sen/kWj.

Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak 5.00 sen kWj (peningkatan sebanyak 16.9 peratus) daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen.

Menurut Paul, pengecualian bil elektrik bulanan kepada pengguna domestik yang menggunakan elektrik di bawah RM20 perlu dikaji semula kerana jumlah tersebut tidak lagi relevan kepada pengguna di bandar.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai syarikat tunggal elektrik di negara ini juga perlu memastikan rakyat tidak terbeban dengan tarif elektrik yang dikenakan.

"TNB seharusnya memacukan usaha lain sebagai alternatif kepada peningkatan tarif elektrik dengan menggalakkan orang awam menyemarakkan penggunaan teknologi hijau yang menjadi dasar kerajaan," katanya.

Tambahnya, penggunaan tenaga solar dapat menjimatkan kegunaan tenaga elektrik dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan teknologi hijau terhadap alam sekitar masih lagi kurang.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, kenaikan tersebut memberi kesan kepada imbangan ekonomi terutamanya golongan miskin yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Taraf hidup di negara kita masih seperti biasa dan kenaikan tersebut akan menyebabkan kadar inflasi melambung tinggi yang secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada penduduk miskin," katanya.

Menurutnya, tindakan itu tidak munasabah dan tidak sesuai pada masanya ketika rakyat baru sahaja menghadapi bebanan berikutan kenaikan pelbagai harga barangan seperti minyak dan gula.



No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...