Friday, December 6, 2013

1023) BERITA HARIAN 5/12/2013 - KERTAS SOALAN MATEMATIK TIDAK BOCOR




Headline: Kertas soalan Matematik tidak bocor
Publication: BH
Date of publication: Dec 5, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 019
Byline / Author: Oleh Muhammad Mustakim Ramli


Kuala Lumpur: Siasatan polis mendapati tidak berlaku kebocoran kertas soalan subjek Matematik dan Matematik Tambahan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti yang didakwa berlaku dalam satu seminar di Setiawangsa di sini, bulan lalu.

56 pelajar beri keterangan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata polis telah memanggil dan mengambil keterangan 56 pelajar yang menghadiri seminar itu dan mendapati tiada pengedaran kertas soalan seperti didakwa.

"Siasatan mendapati, seminar yang diadakan di sebuah masjid itu membincangkan kertas soalan peperiksaan tahun sebelumnya dan soalan ramalan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam.

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972 selepas polis menerima aduan tiga individu yang mendakwa soalan ramalan diajar dalam seminar itu sama dengan kertas Matematik SPM.

Pada 22 November lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut mendakwa menerima aduan sama daripada tiga individu terbabit mendakwa berlaku kebocoran.

Mereka mendakwa kertas itu diedar dalam seminar SPM 2013 dikelola seorang guru di Masjid Mua'adz Bin Jabal, Setiawangsa.

Sementara itu, Mohmad berkata, 21 pekerja dan pemilik premis pajak gadai ditahan dalam Ops Cantas Khas Kedai Pajak Gadai diadakan di sini, kelmarin.

"Kita memeriksa 22 premis, 18 dikesan menjalankan perniagaan tanpa lesen dan kita menahan 21 orang termasuk empat perempuan berusia 20 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan," katanya.


No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...