Friday, December 6, 2013

1025) UTUSAN MALAYSIA 5/12/2013 KENAIKAN TARIF ELEKTRIK TIDAK SESUAI DENGAN MASA



KOTA BHARU 4 Dis. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan, meminta kerajaan mengkaji semula kadar tarif elektrik yang akan dinaikkan sebanyak 14.89 peratus awal bulan hadapan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, kenaikan tersebut memberi kesan kepada imbangan ekonomi terutamanya golongan miskin yang berpendapatan rendah dan sederhana.

"Biarpun angka itu menunjukkan peratus yang kecil namun dari segi nilai saraan hidup rakyat, kenaikan itu amat tinggi dan akan membebankan mereka.

"Taraf hidup di negara kita masih seperti biasa dan kenaikan tersebut akan menyebabkan kadar inflasi melambung tinggi yang secara tidak langsung akan memberikan kesan kepada penduduk miskin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenaikan tarif elektrik yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2014.

Kadar purata tarif elektrik di semenanjung akan dinaikkan sebanyak 4.99 sen/kWj atau 14.89 peratus daripada kadar purata semasa 33.54 sen/kWj kepada 38.58 sen/kWj.

Bagi Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, kadar purata tarif elektrik akan dinaikkan sebanyak lima sen/kWj (peningkatan sebanyak 16.9 peratus) daripada kadar semasa iaitu 29.52 sen/kWj kepada 34.52 sen/kWj.

Mohd. Fared berkata, kenaikkan tersebut tidak mustahil mengundang impak kepada peningkatan kos-kos lain yang berkaitan dengannya.


"Tindakan ini tidak munasabah dan tidak sesuai pada masanya ketika rakyat baru sahaja menghadapi bebanan berikutan kenaikan pelbagai harga barangan seperti minyak dan gula," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...