Monday, December 2, 2013

1015) BERNAMA 30/11/2013-ISU AGAMA ISLAM PERLU JADI INTIPATI PERBINCANGAN PERHIMPUNAN AGONG UMNO - NGO ISLAM

Isu Agama Islam Perlu Jadi Intipati Perbincangan Perhimpunan Agung Umno - NGO Islam


KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Di sebalik inisiatif meramaikan anggota dan memperjuangkan bangsa Melayu, Umno juga perlu memainkan peranan lebih aktif berhubung isu keagamaan yang semakin mencabar sekarang.

Meluahkan kegusaran, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini meminta pengembalian martabat Islam sebagai agama persekutuan dijadikan antara intipati utama Umno semasa membincangkan usul agama secara inklusif pada Perhimpunan Agung Umno 2013 pada 2 hingga 7 Dis ini.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Dr Mohd Roslan Mohd Noor berkata sebagai sebuah parti utama yang telah 56 tahun mentadbir negara, Umno perlu memberikan tumpuan kepada aspek itu bagi memastikan agama persekutuan tidak mudah diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

"Penubuhan Umno sendiri berkait dengan bangsa Melayu dan Islam...justeru ia haruslah bertepatan dengan fungsinya.

"Umno seharusnya tidak lagi sekadar memikirkan mengenai bagaimana cara untuk meramaikan anggotanya atau memperjuangkan Melayu semata-mata...namun penghayatan Islam itu yang perlu diutamakan kerana ia menjadi tunjang kepada perjuangan parti," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Jelas Mohd Roslan, Islam bukan sekadar agama untuk dipraktikkan umatnya semata-mata, namun kecantikan dan keutuhan Islam yang terpamer akan membawa kepada keharmonian sejagat yang merangkumi pelbagai kaum.

"Perjuangan Umno sebenarnya bukan sekadar untuk anggotanya tetapi semua rakyat.

"Isu keagamaan, isu sensitif antara masyarakat Islam dan bukan Islam dan ianya perlu difikirkan dengan serius untuk ditangani dengan berhemah supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Mohd Roslan berkata sebagai inisiatif, Umno boleh menghidupkan semula Bulan Dakwah atau Bulan Penghayatan Islam bagi mendidik, membina kesedaran dan penghayatan cara hidup mengikut ajaran Islam secara menyeluruh dan kontemporari.

"Program seumpama itu yang dilihat biasa sebenarnya mempunyai impak positif yang mungkin boleh menjadi antara medium mengukuhkan Islam dan membantu masyarakat bukan Islam mengenali keindahan Islam yang sebenarnya," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata jentera Umno pelbagai peringkat perlu memainkan peranan masing-masing dalam membantu meletakkan semula Islam sebagai tonggak utama.

"Jika Islam tidak dilaksana secara jelas sehingga boleh diperkotak-katikkan, apa makna ia (Islam) diletak sebagai agama persekutuan?

"Justeru itu kita mahu semua jentera Umno yang ada sama-sama berusaha mengembalikan Islam di tempat yang sewajarnya agar ia terus dihormati semua masyarakat," katanya.

Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay pula berharap isu seumpama penggunaan kalimah Allah dan Bible versi bahasa Melayu, pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) yang masih belum berkesudahan mengisi ruang perbincangan mesyuarat Umno kali ini.

"Selain hala tuju parti, Umno perlu membincangkan isu-isu penghinaan agama yang berlaku termasuk gejala sosial dan keruntuhan akhlak.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...