Thursday, December 19, 2013

1039) HARIAN METRO 19/12/2013 TIP BANTU BEBAS MUFLIS



Kuala Lumpur: Satu siri jelajah bagi menemui individu yang diisytihar muflis akan diadakan ke seluruh negara untuk memberi penerangan terperinci berkaitan peluang yang ada untuk bebas daripada status muflis.

Dikelolakan badan bukan kerajaan dikenali Sekretariat Bebas Muflis, ia dijangka menjadi platform kepada mereka yang terbabit untuk keluar daripada status berkenaan termasuk golongan muda yang muflis disebabkan pelbagai faktor.

Pengerusinya, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, jelajah itu kesinambungan Forum Muflis: Anda Masih Ada Peluang Kedua yang dianjurkan tahun lalu sekaligus memberikan harapan kepada 240,000 individu yang muflis di negara ini.

Katanya, penerangan mengenai isu itu akan diberikan di seluruh negara dan memberikan peluang kepada orang ramai untuk berdialog, memahami proses kebangkrapan dan menentukan sama ada mereka tergolong dalam kalangan individu muflis atau tidak.

“Seperti yang ditentukan pada forum tahun lalu, kita akan turun padang memberikan taklimat serta mengumpulkan maklumat golongan muflis sebelum dibawa kepada pengetahuan kerajaan khususnya Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) untuk tindakan.

“Apa yang boleh saya katakan di sini, mereka yang menjadi penjamin sosial, kemudian muflis berpeluang bebas menerusi usaha sekretariat yang turut mendapat kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Hadir sama wakil PERDASAMA Datuk Azman Ujang dan aktivis PPIM, Mohd Mustaffa Hamzah.

Sohaimi berkata, orang ramai yang ingin mengikuti siri berkenaan boleh mendaftar di www.bebasmuflis.com bagi membolehkan nama dan maklumat peribadi lain direkodkan sekretariat.


Siri pertama akan diadakan di PWTC Kuala Lumpur pada 7 Januari depan diikuti Johor (25 Januari), Melaka (26 Januari), Kelantan (8 Februari), Terengganu (9 Februari), Sabah, (23 Februari), Kedah (8 Mac), Pulau Pinang (9 Mac), Pahang (23 Mac), Sarawak (6 April), Negeri Sembilan (26 April) dan Perak 27 April depan.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...