Thursday, December 19, 2013

1037) UTUSAN MALAYSIA 19/12/2013 DESAK KAJI SEMULA KENAIKAN TOL





KUALA LUMPUR 18 Dis. - Persatuan-persatuan pengguna hari ini meminta kerajaan mengkaji semula kenaikan tol yang dijangka berkuat kuasa awal tahun depan kerana rakyat terutama yang berpendapatan rendah sudah cukup terbeban dengan kos sara hidup semasa.

Ketua Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, meskipun terikat dengan perjanjian konsesi, selaku sebuah kerajaan bertanggungjawab kepentingan rakyat terbanyak perlu diutamakan.

Katanya, jika kerajaan boleh campur tangan untuk menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya berlaku pada 2011, tiada sebab mengapa kali ini pendekatan sama tidak boleh dilaksanakan kerana adalah tidak molek jika rakyat perlu menanggung pelbagai kenaikan.

"Selaku pemerintah, kerajaan wajar mengkaji semula kenaikan tol ini kerana rakyat baru sahaja menerima kenaikan tarif elektrik. Kalau tanpa kenaikan awal tahun depan tetapi syarikat konsesi masih mampu meraih keuntungan hasil pertambahan trafik, mengapa perlu naikkan.

"Kita faham kerajaan terikat dengan perjanjian bersama syarikat konsesi tetapi keutamaan perlu diberi kepada rakyat kerana mereka yang perlu menanggung beban khususnya yang berulang-alik menggunakan lebuh raya setiap hari," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebelum ini berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan RM400 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi jika kenaikan kadar tol yang sepatutnya disemak tiga hingga lima tahun sekali ditangguhkan sekali lagi.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kajian semula secara mendalam perlu dibuat memandangkan kenaikan serentak pelbagai perkara akan memberi kesan gandaan kepada harga barangan dan perkhidmatan.

Justeru beliau menyarankan jika tiada cara lain untuk membendung kenaikan tol, kerajaan boleh memikirkan cadangan meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli syarikat konsesi lebuh raya sebagaimana dilakukan terhadap Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

"Sebagai persatuan pengguna, kita pun berasa serba salah, kita dapat menyokong kenaikan harga gula dan menerima hakikat kenaikan harga minyak tetapi apabila tol pun dinaikkan, kita rasa sangat susah untuk mengelak. Kita minta tolong sangat untuk kerajaan kaji dengan teliti," katanya.

Nada sama turut disuarakan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George kerana berdasarkan kajian, tiada mana-mana syarikat konsesi lebuh raya yang menanggung kerugian walaupun kadar tol tidak dinaikkan pada 2011.

Jelasnya lagi, kerajaan perlu mengambil kira hampir 70 peratus penduduk Malaysia menghadapi masalah kredit dan jika kenaikan tol tetap dilaksanakan mulai awal tahun depan, keadaan itu hanya akan menambah beban sedia ada.


Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia (TWU), Tan Sri Zainal Rampak berkata, beliau tidak nampak rasional kenaikan kadar tol tersebut perlu dilaksanakan buat masa ini kerana lebih banyak menguntungkan syarikat konsesi.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...