Monday, December 30, 2013

1069) UTUSAN MALAYSIA 30/12/2013 HARGA : TUBUH BADAN PEMANTAU



KUALA LUMPUR 29 Dis. - Kerajaan digesa mewujudkan satu badan pemantau bagi mengawal tindakan sesetengah pihak yang seakan-akan 'berpesta' menaikkan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan itu perlu bagi memastikan rakyat tidak terus runsing, takut dan keliru dengan kenaikan kos sara hidup terutama bagi yang tinggal di bandar besar.

"Kerajaan kena lihat untuk kesejahteraan rakyat. Pihak-pihak berkaitan yang sesuka hati menaikkan harga itu perlu diberi pengajaran, diambil tindakan agar mereka takut. Ini kerana kita lihat ada pihak yang menaikkan harga tanpa sebab pun," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menasihatkan kerajaan menggunakan pendekatan mengurangkan kos berbanding menaikkan harga barang dalam usaha merasionalisasikan subsidi.

Menurut Dr. Mahathir, meskipun menyedari bahawa kerajaan memerlukan sumber kewangan yang besar untuk menguruskan negara, beberapa langkah penjimatan bagi mengurangkan kos boleh dilaksanakan untuk tujuan sama.

Nadzim berkata, saranan Dr. Mahathir itu wajar diberi perhatian serius dalam usaha memastikan rakyat terus mengingati dan menyokong kerajaan sedia ada.

"Kerajaan kena buat penyelarasan dalam soal perbelanjaan. Mungkin rakyat boleh terima kenaikan tetapi kerajaan kena ambil langkah atasi segala pembaziran dan ketirisan di dalam pentadbiran.

"Saya takut segala kenaikan kos ini akan memberi mesej tidak cantik kepada rakyat tambahan pula kita baru melepasi Pilihan Raya Umum Ke-13. Sebelum pilihan raya, janji tidak naik, tetapi selepas pilihan raya, berlaku sebaliknya," katanya.

Sebagai contoh katanya, kenaikan kadar tol lebuh raya tidak perlu berlaku pada masa kebanyakan perkara lain juga bakal menghadapi kenaikan harga.

"Kerajaan nampaknya perlu tegas menangani kenaikan kos ini dengan bertindak terhadap sesiapa yang mengambil kesempatan dalam soal menaikkan harga. Hari ini kita tengok peniaga tidak takut, mereka menaikkan harga sesuka hati tetapi apabila dihukum, ia tidak setimpal. Kerajaan perlu melakukan tindakan yang dihormati," katanya.


Jelas beliau, nasihat Dr. Mahathir yang telah memimpin negara lebih dua dekad itu wajar dijadikan panduan agar kerajaan boleh terus memahami keperluan dan keperitan rakyat selain menjamin kesejahteraan mereka melalui pengurusan ekonomi negara yang lebih bijak.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...