Tuesday, December 24, 2013

1048) HARIAN METRO 24/12/2013 BEBAS STATUS MUFLIS







Headline: Bebas status muflis
Publication: HM
Date of publication: Dec 24, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 041
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya masih lagi dalam keadaan terkejut, tak tahu nak cakap apa. Tapi rasa macam dapat kehidupan semula. Kes ini membuatkan saya rasa putus asa, namun atas nasihat banyak pihak termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), akhirnya saya bebas," Raziah Hussein, 56, yang dibebaskan daripada status muflis akibat menanggung hutang lebih RM80 juta yang dibuat majikannya sejak lebih 27 tahun lalu.

Menurutnya, tiada apa yang lebih indah ketika ini selepas surat penjelasan status kebangkrapan diterima daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) pertengahan bulan lalu, sekali gus impiannya mengecapi hidup tanpa bayangan hutang orang lain tercapai.

Hidupnya menjadi tidak menentu selepas diisytiharkan muflis gara-gara membenarkan namanya disenaraikan dalam salah satu syarikat milik majikan sejak 1986, yang kemudian membuat pelbagai jenis pinjaman tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, perkara itu disedari selepas dia berhenti kerja bagi mengikut suaminya bertugas di China pada 2003 dan terkejut apabila dimaklumkan mengenai satu saman atas namanya kerana gagal membayar pinjaman sebuah institusi kewangan berjumlah RM80 juta.

"Seorang rakan yang bersimpati dengan nasib saya meminta saya berjumpa Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan yang kemudian memanjangkan perkara itu kepada pihak berwajib.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu memberikan kehidupan semula kepada saya. Semoga ia menjadi iktibar kepada orang lain supaya tidak mudah mempercayai siapa saja termasuk majikan sendiri," katanya ketika ditemui semalam.

Kisah Raziah yang terpaksa menanggung hutang berjumlah lebih RM80 juta disiarkan di akhbar ini pada 31 Januari lalu selepas mengadakan pertemuan dengan Nadzim yang kemudiannya berbincang dengan beberapa pihak bagi membantunya.

Hasilnya, satu perbincangan bersama Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat diadakan pada 21 Februari dan kedua-dua pihak komited untuk membantu Raziah menyelesaikan masalah berkenaan dengan satu pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri waktu itu Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Kemudian, Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis Datuk Sohaimi Shahadan dalam pertemuan dengan pihak MdI membawa perkara itu untuk dipertimbangkan memandangkan dalam kes terbabit, nama Raziah digunakan tanpa pengetahuannya.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya akan terus mengadakan siri penerangan bersama Sekretariat Bebas Muflis dari semasa ke semasa bagi membantu individu berkemungkinan diisytihar bankrap mengetahui tindakan yang perlu dibuat.


"Ini kes pertama membabitkan jumlah yang besar. Ia permulaan yang baik untuk ratusan ribu kes lain selepas ini," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...