Thursday, December 12, 2013

1031) UTUSAN MALAYSIA 12/11/2013 AMBIL TINDAKAN TEGAS -MTUC-






KUALA LUMPUR 11 Dis. - Kerajaan diminta mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang mengamalkan diskriminasi kaum dalam pengambilan pekerja seperti mensyaratkan penguasaan bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Khalid Atan berkata, amalan diskriminasi seperti itu seharusnya tidak berlaku lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang berbilang kaum.

"Kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk mengawal perkara ini daripada terus berlaku kerana jika dibiarkan boleh mencetuskan isu perkauman.

"Tambahan pula, Perlembagaan Persekutuan juga ada menyentuh tentang kesamarataan dan menyebut tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras dan keturunan dalam mana-mana perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam) yang menerima banyak aduan daripada golongan muda Melayu yang mendakwa mereka didiskriminasi oleh majikan bukan Melayu.

Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anuar Rahmat memberitahu, aduan yang banyak diterima adalah berkaitan syarat untuk diterima bekerja iaitu mesti mahir berkomunikasi dalam bahasa Mandarin atau Kantonis.

Mohd. Khalid berkata, majikan bukan Melayu tidak seharusnya meletakkan syarat tersebut sebagai syarat kelayakan untuk diterima bekerja, sebaliknya mahir berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris sudah cukup memadai untuk diambil bekerja.

"Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi manakala bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua, ini sudah cukup untuk diterima bekerja," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara tersebut dalam konteks memastikan perpaduan dapat dikongsi secara inklusif, adil dan saksama.


"Perkara itu sudah berlarutan, jelas menunjukkan majikan berkenaan telah mewujudkan amalan diskriminasi yang melanggar dasar negara dalam mewujudkan integrasi antara kaum," katanya.

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...