Monday, December 23, 2013

1046) BERITA HARIAN 23/12/2013 60 ORANG DIISYTIHAR BANKRAP SETIAP HARI

             

Headline: Seminar beri golongan sasar peluang kedua
Publication: BH
Date of publication: Dec 23, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 025


Siri jelajah Taklimat Bebas Muflis: Harapan Baru, Peluang Kedua akan diadakan di enam negeri bermula di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 7 Januari ini sebagai langkah menarik 20 peratus lagi golongan muflis tampil mendaftar.

Pengerusi Sekretariat Bebas Muflis, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata taklimat itu bagi memberi peluang golongan muflis berdialog dan memahami kes kebankrapan dengan lebih mendalam, di samping memberi maklumat dan khidmat nasihat mengenai status mereka.

Menerusi program ini mereka boleh mendaftar dan menyerahkan dokumen berkaitan sebelum diberi bantuan membebaskan diri daripada muflis.

"Siri jelajah taklimat dan pendaftaran ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia. Keutamaan diberi kepada mereka yang disahkan muflis atau dalam proses pengesahan mahkamah. Pendaftaran dibuat di laman sesawang www.bebasmuflis.com dengan mengisi borang dalam talian bagi memudahkan pengumpulan maklumat.

"Setiap maklumat yang diisi akan menerima nombor rujukan bagi memudahkan data disisih dan dinilai oleh panel penasihat profesional," katanya.

Utama golongan teraniaya

Keutamaan juga diberikan kepada golongan muflis yang teraniaya dan menjadi penjamin. Maklumat mereka terus dihantar ke Jabatan Insolvensi Malaysia untuk diselesaikan segera.

"Mereka ini adalah golongan teraniaya oleh peminjam dan sindiket curi yang banyak berlaku di seluruh negara. Oleh itu, kami melihat nasib mereka perlu dibela. Mereka kini sukar menjalani hidup normal dan menghadapi kesempitan hidup," katanya.

Katanya, kes muflis yang lain akan dinilai serta perhalusi oleh panel penasihat untuk dibantu dan diselesaikan.

Sohaimi berkata, mereka yang terbabit tidak perlu takut kerana tugas sekretariat adalah untuk membantu bukan menahan mereka, malah semua maklumat dijamin akan dirahsiakan.

"Apa yang penting mereka tidak lagi disenaraihitamkan sehingga tidak boleh mendapat pinjaman bank dan keluar negara.

Pandang serius masalah

"Lebih teruk, mereka berputus asa dengan memencilkan diri kerana menganggap kehidupan sudah berakhir. Kita memandang serius masalah ini, oleh itu taklimat ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang terbabit," katanya.

Sekretariat ini turut mendapat kerjasama Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Kedua-dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menawarkan bantuan secara sukarela.

Sohaimi berkata, setiap kes bagaimanapun perlu mengambil masa untuk diselesaikan kerana penelitian terperinci dan siasatan mendalam perlu dilakukan pihaknya dan juga pihak berkuasa.

"Masalah ini tidak boleh diselesaikan secara automatik dan ia juga memerlukan mahkamah bagi membuat perisytiharan bebas muflis," katanya.

INFO

Taklimat muflis

Johor Bahru - 25 Januari 2014.

Melaka - 26 Januari 2014.

Kelantan - 8 Februari 2014.

Terengganu - 9 Februari 2014.

Sabah - 23 Februari 2014.

Kedah dan Perlis - 8 Mac 2014.

Pulau Pinang - 9 Mac 2014.

Pahang - 23 Mac 2014.

Sarawak - 6 April 2014.

Negeri Sembilan - 26 April 2014.

Perak - 27 April 2014

1 comment:

Datuknaga2012 said...

Kepada Kerajaan Malaysia,
Kerajaan Malaysia yang terlalu memberi kuasa kepada bank menjadi penyebab kepada pengurusan tidak sempurna. Bank ialah punca utama seseorang individu menjadi ‘bankruptcy‘ atau muflis.
Bank-bank di Malaysia boleh mengenakan caj dengan kadar faedah yang tinggi dan sesuka hati kalau masa anda tidak keupayaan membayar insuran bulanan. Ia tidak adil dan mangsa tidak dapat berbuat apa-apa sehingga anda muflis. Malaysia kita tidak ada jabatan yang boleh membantu anda pada masa tersebut.
Ia hanya menyebabkan bankruptcy meningkat saja tahun ke tahun. Tambahan pula bankruptcy laws di Malaysia akan menghukum seseorang muflis sampai boleh memusnahkan hidup seseorang. Dengan AKTA KEBANKRAPAN 1967, kita sangat jelas, ini kebanyakan disebabkan oleh kuasa bank yang keterlaluan.
Bankruptcy laws di Malaysia memang boleh menyebabkan seseorang muflis dan melambatkan muflis untuk hidup semula. Di dalam undang-undang muflis, ada banyak syarat yang mengikat si muflis seperti tidak boleh berniaga sendiri, tidak boleh terima wang lebih RM500 dari orang lain (dikehendaki melapor kpd Jabatan Insolvensi Malaysia), tidak boleh keluar luar negara bekerja (pasport disekat), tidak dapat memegang jawatan tinggi di syarikat dan lain-lain. Ini semua memang akan menyekat seseorang muflis mendapat wang untuk pelepasan.

Harap kerajaan kita sedar dan tidak membunuh masa depan seseorang muflis di Malaysia ini dan tidak membunuh sesama sendiri. Bankruptcy yang meningkat boleh diselesaikan jika Akta Kebankrapan 1967 boleh berubah mengikut masa sekarang, bukan akta kampung yang dulu. Untuk menjatuhkan seseorang menjadi bankrap hutangnya kalau melebihi RM150,000 ke atas. Harap juga yg telah dilaporkan bankrap pada masa sekarang akan dilepaskan secepat mungkin jika hutang tidak melebihi RM150,000. Inilah yang sempurna dan sesuai untuk masa kini.
Kerajaan Malaysia memang kena mempertimbangkan seseorang yang telah jatuh bankrap kalau hutang tidak melebihi RM150,000 atau RM100,000 patut diberi peluang untuk pelepasan automatik pada awal tahun 2015 ini. Ianya sangat jelas, yang telah difailkan bankrupcy, akhir hutang akan ditambah oleh pihak bank dan hantar kepada JIM.
Kalau seseorang dijatuhkan bankrap dengan jumlah hutang yang tinggi, mungkin dia ada niat untuk mendapat manfaat dari pihak bank atau kerajaan kita. Akhirnya saya sebagai wakil pihak muflis harap Kerajaan Malaysia kita dapat mempertimbangkan isu isu seperti ini.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...