Kuala Lumpur: Faktor kekurangan mendadak bakalan di pasaran menyebabkan harga beberapa sayur-sayuran yang dijual di pasar raya tempatan naik sehingga 100 peratus.
Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), Mohd Afiq Salim berkata, tinjauan pihaknya mendapati trend kenaikan harga barang mentah terutama sayur-sayuran bermula sejak perayaan Tahun Baharu Cina lepas.
"Maklum balas yang kami terima, sawi kecil bulan lepas dijual pada harga 2.99 per kilogram (kg) manakala sekarang sudah dijual dengan harga RM6.99kg. Peningkatan lebih 100 peratus.
"Tomato pula dijual pada harga RM9.90 kg dan harga tidak turun sehingga sekarang.
Bulan lepas pengguna masih menikmati harga murah sekitar RM4.99 sekilo untuk tomato, kenaikan hampir 100 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Afiq berkata, hasil tinjauan Biro Ekonomi PPMM mendapati, kekurangan bekalan berlaku susulan permintaan tinggi melebihi pengeluaran dan harga yang diterima peruncit dari pembekal agak tinggi.
"Disamping itu, kos pengeluaran juga meningkat apabila baja kimia, racun serangga perosak dan benih turut mengalami kenaikan harga.
"Maklumat lain juga mendapati faktor cuaca terlalu panas juga menyebabkan hasil sayur dan buah tempatan menurun memaksa pembekal mengimport bekalan dari luar," katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kenaikan harga makanan berkenaan berlaku setiap kali menjelang musim perayaan.
Katanya, kerajaan harus menjadikan isu berkenaan sebagai agenda nasional kerana kenaikan kos bahan mentah itu memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat.
Nadzim menasihatkan orang ramai perlu bijak berbelanja dan jika ada peluang boleh mengusahakan kebun sayur sendiri secara kecil-kecilan untuk kegunaan keluarga di rumah.
"Kerajaan perlu cari jalan selesaikan isu ini. Harga kadang-kadang naik pada kadar tak masuk akal, lagi-lagi bila menjelang musim perayaan.
"Bagi saya, jalan terbaik tangani isu ini adalah dengan membantu petani meningkatkan produktiviti dan pada masa orang ramai perlu main peranan dengan cara kurangkan pembaziran," katanya.
Artikel oleh: Harian Metro
'SETIAP KALI MUSIM PERAYAAN, MESTI NAIK HARGA' - NGO
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/03/946395/setiap-kali-musim-perayaan-mesti-naik-harga-ngo
No comments:
Post a Comment