KOTA BHARU - Umat Islam tidak boleh
terlibat langsung dengan kegiatan tarik duit secara ghaib kerana perbuatan itu
berdosa besar.
Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan
Pembangunan Insaniah, Universiti Malaysia Kelantan, Prof Madya Dr Azhar
Muhammad berkata, perkara-perkara tidak jelas dan meragukan seperti proses
tarik duit yang ada unsur mistik serta syubhah perlu dijauhi oleh umat Islam.
“Para Muslimin tidak boleh turut serta
sama sekali kerana perbuatan yang berunsur sihir ini jelas hukumnya berdosa
besar.
“Sebab itu, perlu elakkan diri kerana
prosedur dan interaksi antara dua pihak itu juga tidak jelas selain pulangan
berganda yang tidak logik,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian mendedahkan
seorang pesara terpedaya dengan pengamal
perubatan tradisional dari negara seberang yang mendakwa mampu menarik duit
dari alam ghaib.
Warga emas berusia 62 tahun itu kononnya
dikatakan berjaya memperoleh RM150,000 dan diminta membayar RM1,500 lagi bagi
urusan penghantaran wang namun tidak meneruskan perbuatannya kerana bimbang
ditipu.
Menurut Azhar yang juga Penasihat Rumah
Ngaji Kelantan, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan pihak yang
menggunakan agama untuk tujuan menarik perhatian umum.
“Masyarakat awam perlu selidik terlebih
dahulu dan rujuk kepada pihak atau sumber sahih. Tak wajar untuk mencuba
perkara sebegini.
“Masalah sudah lama berlaku dan kewujudan
media sosial memudahkan lagi golongan ini untuk membuat promosi dan
sebagainya,” katanya.
Pada tahun 2018, Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM) pernah mendedahkan perkara sama sekumpulan penarik duit yang
dikesan aktif mengumpan mangsa menerusi Facebook dengan mendakwa mampu menarik
duit dari alam ghaib.
Mereka juga meyakinkan orang ramai
mempunyai ‘bantuan’ dari alam ghaib untuk menolong orang dalam kesusahan dan
perlu memasukkan wang upah untuk melicinkan upacara berkenaan.
Artikel oleh: Sinar Harian
BERDOSA BESAR TERJEBAK TARIK DUIT GHAIB
No comments:
Post a Comment