Thursday, March 2, 2023

MENTEGA TERBANG: AMBIL TINDAKAN TEGAS KEPADA SEMUA TERLIBAT - SINAR HARIAN - 02/03/2023

 

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam pembikinan filem pendek bertajuk Mentega Terbang.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, ini kerana kandungan filem berkenaan yang menyentuh sensitiviti jelas mencabar dan menimbulkan kemarahan orang Islam di Malaysia.

“Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) perlu bertindak dan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk mengambil tindakan kerana filem itu adalah satu provokasi terhadap umat Islam di negara ini.

"Hentikan amalan berselindung di sebalik 'tiada kuasa', maruah agama Islam semakin diinjak-injak di negara ini. Perbuatan ini sangat melampau," katanya.

Sebelum ini, filem indie tempatan yang ditayangkan menerusi platfrom penstriman video itu mengundang kecaman dan kegusaran orang awam, berikutan karya itu didakwa memaparkan adegan dengan unsur-unsur bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.

Ia mendapat pelbagai reaksi dan kritikan daripada pengguna sosial media yang menganggap filem berkenaan melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Mengulas mengenai kandungan filem tersebut, Nadzim mendakwa, ia secara terang mengajak agama lain memperkecilkan Islam sekali gus mencetuskan kemarahan sehingga menyebabkan keresahan dan mungkin pergaduhan antara kaum.

"Kesan penyebaran video itu juga amat besar kerana ia jelas sekali memesongkan akidah, mengelirukan umat Islam terutama anak muda. Adakah pihak penerbit dan pengarah sudah terlalu ketandusan idea menerbitkan filem sehingga mencabar umat Islam di negara ini?

“Semua pihak termasuk, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), badan bukan kerajaan (NGO) Islam perlu mengambil tindakan agar semua yang terbabit ditangkap dan diambil tindakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta Menteri Hal Ehwal Undang Undang, Datuk Seri Azalina Othman mempertimbangkan hukuman lebih berat dan tegas terhadap mereka yang menghina agama khususnya Islam.


Artikel oleh: Sinar Harian

MENTEGA TERBANG: AMBIL TINDAKAN TEGAS KEPADA SEMUA TERLIBAT

https://www.sinarharian.com.my/article/247810/berita/semasa/mentega-terbang-ambil-tindakan-tegas-kepada-semua-terlibat

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...