PETALING JAYA: Pengguna sentiasa berdepan isu kenaikan harga barang sepanjang tahun terutamanya menjelang musim perayaan. Isu ini hanya boleh berubah sekiranya pengguna sendiri bekerjasama untuk membawa perubahan.
Mengapa setiap kali berlaku kenaikan harga barang tidak kira semasa musim perayaan mahupun pandemik Covid-19, kerajaan yang disalahkan?
Malah, kerajaan juga diharap berbuat sesuatu untuk membawa perubahan tetapi pengguna tidak melakukan apa-apa?
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perubahan boleh dilakukan dengan menjadi pengguna yang bijak, sentiasa bandingkan harga barangan di beberapa lokasi sebelum membuat pembelian.
Katanya, pengguna harus lebih bertanggungjawab dengan mempunyai ilmu mengenai harga barangan yang dibeli, bandingkan harga barangan dengan harga pasaran yang ditentukan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Sentiasa menyimpan resit pembelian supaya dapat dibandingkan harga barangan di pasar raya tersebut dengan pasar raya lain dan jangan meneruskan pembelian sekiranya mendapati harga yang ditawarkan di lokasi tersebut melebihi daripada harga yang sepatutnya.
“Pada masa yang sama, kita sebagai pengguna harus bekerjasama dengan tidak melakukan pembelian di kedai yang meletakkan harga yang tinggi serta didik anak-anak kita perkara yang sama juga,” ujarnya.Menurut Nadzim, didikan bermula daripada keluarga sendiri, sekiranya ibu bapa melakukan pembelian dengan bijak, sudah pasti anak-anak akan turut mengikut langkah tersebut.
Katanya, pengguna tidak boleh mengambil mudah semua perkara dan harapkan barangan murah begitu sahaja tetapi tidak mahu mengambil inisiatif sendiri.
“Tanam sayur-sayuran di belakang rumah seperti cili, kacang bendi, tomato, bok choy dan kangkung, ini serba sedikit mampu menjimatkan perbelanjaan.
“Pengguna harus proaktif dan mendisiplinkan diri untuk melakukan sesuatu, mereka sedar bahawa isu ini sentiasa berlaku tetapi masih mahu menuding jari menyalahkan orang lain tanpa melakukan apa-apa.
“Kita sebagai pengguna perlu pastikan ada perubahan dalam diri kita, jangan asyik menunggu peniaga atau kerajaan untuk membawa perubahan,” ujarnya.
Tinjauan oleh Utusan Malaysia di sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama di ibu negara menunjukkan kebanyakan harga barangan berada dalam tahap yang ditentukan oleh FAMA, hanya beberapa barangan menunjukkan perbezaan harga dalam RM0.49 hingga RM3.74.
Cili merah satu kilogram menunjukkan RM11.99, kubis bulat Cameron satu kilogram RM4.99, minyak masak paket satu kilogram RM2.50 dan gula kasar satu kilogram RM2.85, harga ini selaras dengan harga yang ditentukan oleh kerajaan.
Terdapat beberapa barangan menunjukkan perbezaan seperti tembikai merah satu kilogram menunjukkan perbezaan harga RM0.49, tomato cameron satu kilogram mempunyai perbezaan RM0.99, telur ayam 10 biji menunjukkan perbezaan sekitar RM2.40 dan ubi kentang AS mempunyai perbezaan RM3.74.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
HARGA BARANG NAIK: PENGGUNA PERLU BIJAK, JANGAN ASYIK SALAHKAN KERAJAAN SAHAJA
No comments:
Post a Comment